Penjara 6 bulan, denda RM4,500 ajar anak ajaran salah

Penjara 6 bulan, denda RM4,500 ajar anak ajaran salah

Zolekafeli Abd Ghani, 60, mengaku bersalah atas tuduhan mengajar 'Ahmadi Religion of Peace and Light' kepada anaknya berusia 30 tahun.

Hakim Zulfikri Yasoa menjatuhkan hukuman itu terhadap Zolekafeli Abd Ghani, 60, di Mahkamah Tinggi Syariah Seremban hari ini. (Gambar Bernama)
SEREMBAN:
Seorang pesara bomba dipenjara enam bulan dan didenda RM4,500 oleh Mahkamah Tinggi Syariah hari ini selepas mengaku bersalah atas tiga tuduhan mengajar ajaran salah berkaitan ‘Ahmadi Religion of Peace and Light’ kepada anak lelakinya.

Hakim Zulfikri Yasoa menjatuhkan hukuman itu terhadap Zolekafeli Abd Ghani, 60, selepas dia mengaku bersalah atas tuduhan yang dibacakan secara berasingan.

Hakim turut memerintahkan penjara dua minggu bagi setiap tuduhan sekiranya gagal membayar denda.

Lelaki itu didakwa mengajar ajaran salah kepada anaknya berusia 30 tahun, yang berlawanan dengan hukum syarak, iaitu dengan menyatakan Abdullah Hashim ialah Imam Mahdi yang ketiga dan ajaran itu mendakwa roh Allah ada pada Abdullah Hashim.

Selain itu, dia turut didakwa mengajar ajaran salah kepada individu sama dengan menyatakan al-Quran ditokok tambah oleh Saidina Umar, selain menyatakan perkahwinan adik beradik dibenarkan dengan syarat kahwin secara biologi dan bukannya roh.

Ketiga-tiga kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Taman Ampangan pada 12 Okt, mengikut Seksyen 52 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 1992 pindaan 2019, yang memperuntukkan penjara maksimum tiga tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan atas alasan menghidap kencing manis, darah tinggi dan sakit jantung, selain perlu menanggung tiga anak yang masih belajar.

Bagaimanapun, Pendakwa Syarie Azizudin Abdullah Halim dan Zarul Izham Jaafar memohon mahkamah mengenakan hukuman lebih berat, berikutan kesalahan itu sangat serius dan boleh menjejaskan akidah umat Islam.

“Sekiranya hukuman rendah diberikan, saya khuatir masyarakat tak ambil serius terhadap kesalahan sebagaimana dilakukan tertuduh. Ajaran sesat ini aktif di pelbagai platform media sosial, mempunyai 30,000 pengikut selain menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa komunikasi.

“Ajaran ini bukan ajaran biasa, malah ramai jadi pengikut terutama rakyat Malaysia, oleh itu hukuman sewajarnya perlu dikenakan sebagai pengajaran kepada orang awam supaya tidak terpengaruh dengan ajaran sesat dan kesyirikan yang membawa kepada dosa besar,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.