Pejuang cabar Najib dedah individu subahat tutup skandal 1MDB

Pejuang cabar Najib dedah individu subahat tutup skandal 1MDB

Ia termasuk semua pegawai kerajaan, penguatkuasaan, jabatan, pendakwaan, GLC dan ahli lembaga pengarah yang bertanggungjawab.

Ketua Penerangan Pejuang Muhammad Rafique Rashid Ali mempersoalkan beberapa tindakan Najib Razak ketika menjadi perdana menteri.
PETALING JAYA:
Pejuang mencabar Najib Razak menamakan individu bersekongkol dan bersubahat menutup skandal 1MDB susulan permohonan maaf bekas perdana menteri itu kepada rakyat hari ini.

Ketua Penerangan Pejuang, Muhammad Rafique Rashid Ali, berkata ini termasuk semua pegawai kerajaan, penguatkuasaan, jabatan, pendakwaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), dan ahli lembaga pengarah yang bertanggungjawab.

Selain itu, beliau menuntut individu yang mendakwa pernah bertemu ‘Raja Arab’ atau tahu tentang ‘derma Arab’ dinamakan, tanpa mengira pangkat atau status.

“Ini cabaran Pejuang pada Najib Razak. Kalau tidak, jangan salahkan rakyat yang kata bahawa maaf itu hanya di lidah sahaja, demi syarat mendapat kemudahan tahanan rumah…seperti mana diperlihat dalam ucapan pembentangan Belanjawan Madani Ketiga,” katanya dalam kenyataan.

Rafique turut mempersoalkan beberapa tindakan Najib ketika menjadi perdana menteri, antaranya menggantikan peguam negara, yang mengambil alih siasatan kes 1MDB dan kemudian mendapati tiada salah laku.

“Bukankah pada zaman Najib juga pasukan petugas khas yang menyiasat 1MDB terdiri daripada peguam negara, SPRM dan polis ditamatkan tanpa alasan munasabah?” soalnya.

“Bukankah pada zaman Najib juga Khairuddin Abu Hassan dan Matthias Chang dituduh dengan undang-undang Sosma kerana cuba minta siasatan ke atas 1MDB dijalankan oleh badan siasatan antarabangsa?”

Selain itu, Rafique mengingatkan bahawa tokoh seperti Mukhriz Mahathir, Muhyiddin Yassin dan Shafie Apdal disingkirkan daripada Umno kerana berani mempertikaikan isu 1MDB pada waktu itu.

Terdahulu, dilaporkan Najib membuat permohonan maaf secara terbuka berhubung salah laku dalam 1MDB.

Dalam kenyataan dibacakan anaknya, Mohamad Nizar petang ini, Najib kekal menyatakan beliau tidak bersalah, sebaliknya menyalahkan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low dan eksekutif Petrosaudi.

Permohonan maaf Najib itu dibuat enam hari sebelum Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan sama ada beliau perlu membela diri dalam kes rasuah 1MDB yang bermula lima tahun lalu.

Menurut kenyataan itu, Najib memberitahu beliau amat terluka mengetahui segala kecurangan berlaku dalam 1MDB ketika berada bawah pengawasannya sebagai menteri kewangan dan perdana menteri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.