
“Walaupun kita akan beri subsidi RON95 kepada 85% penduduk (menjelang pertengahan 2025), kita masih lakukan banyak untuk pengangkutan awam.
“RON95 digunakan di seluruh negara, bukan hanya di Lembah Klang,” katanya kepada pemberita di stesen LRT Pasar Seni hari ini.
Menurutnya, walaupun pengangkutan awam tersedia secara meluas di Lembah Klang dan bandar utama lain, bukan semua wilayah mempunyai akses yang sama, justeru subsidi RON95 mesti diteruskan.
“Bagaimanapun, bagi bandar-bandar besar, sasaran kita ialah penggunaan pengangkutan awam meningkat kepada 40% daripada jumlah mod pengangkutan, untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas.
“Kesesakan lalu lintas masih isu penting, terutamanya di Kuala Lumpur, sebab itu kita akan terus gesa (penggunaan) pengangkutan awam,” katanya.
Jumaat lepas, Kementerian Pengangkutan berkata, hampir 44% daripada peruntukan RM750 juta bawah Belanjawan 2025 untuk inisiatif pengangkutan awam akan disalurkan ke arah subsidi, termasuk perkhidmatan kereta api dan udara.
Antara inisiatif penting yang akan diteruskan ialah subsidi My50 (pas perjalanan bulanan tanpa had) dan Pas Mutiara (untuk Pulau Pinang), dengan peruntukan RM226 juta, yang dijangka memberi manfaat kepada lebih 180,000 pengguna di Lembah Klang dan wilayah utara.
Prasarana terima subsidi kerajaan
Loke juga menjawab Ridza Abdoh Salleh yang menggesa kerajaan supaya tidak memberi subsidi pengangkutan awam, selepas bekas Ketua Pegawai Eksekutif Prasarana Malaysia Bhd itu berkata subsidi akan ‘membunuh’ motivasi dan inovasi syarikat.
Loke yang hairan dengan kenyataan Ridza menjelaskan, Prasarana selama ini sememangnya menerima subsidi kerajaan.
“Tetapi saya lihatnya bukan sebagai kerajaan beri subsidi kepada Prasarana, sebaliknya kepada rakyat. Kita buat ini untuk galakkan (rakyat) guna pengangkutan awam,” katanya.
Beliau berkata, Putrajaya menampung RM100 subsidi sebulan untuk setiap pemegang My50, yang mencecah hingga RM1,200 seorang setiap tahun.
“Ini dilakukan untuk menggalakkan penggunaan pengangkutan awam, (selain) membantu mengurangkan kos sara hidup, terutama bagi isi rumah B40, yang membentuk kira-kira 50% daripada pelanggan My50,” katanya.