Timbang semula penyasaran subsidi RON95, Muhyiddin bimbang harga barang naik

Timbang semula penyasaran subsidi RON95, Muhyiddin bimbang harga barang naik

Bekas perdana menteri berkata T15 yang mempunyai perniagaan mungkin pindah kos kepada pengguna jika tidak lagi menikmati subsidi petrol.

muhyiddin yassin
Pengerusi PN Muhyiddin Yassin seru kerajaan tidak menarik subsidi pendidikan di sekolah berasrama penuh terhadap keluarga T15. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh) menyeru Putrajaya antaranya mempertimbangkan semula keputusan melakukan penyasaran subsidi petrol RON95, sambil menyuarakan kebimbangan menyebabkan harga barangan meningkat.

Bekas perdana menteri berkata, penghapusan subsidi dicadang terhadap golongan ‘T15’ menjurus mereka memindahkan kos kenaikan kesan penyasaran bahan api itu kepada pengguna, jika mereka terdiri daripada peniaga.

“Akhirnya, yang terjejas dengan penghapusan subsidi petrol ini bukan hanya golongan T15, tetapi juga golongan B40 dan M40.

“Dengan kadar inflasi dijangka meningkat antara 2% hingga 3.5% tahun depan, kerajaan perlu menimbang semula dasar rasionalisasi subsidi,” katanya dalam perbahasan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat.

Muhyiddin, yang juga pengerusi Perikatan Nasional, turut membantah penarikan subsidi pendidikan di sekolah berasrama penuh terhadap keluarga T15, jika kerajaan meneruskan rancangan penghapusan subsidi RON95.

“Sudahlah mereka terpaksa membayar harga petrol yang lebih mahal bermula tahun depan, mereka juga terpaksa membayar lebih untuk pendidikan anak-anak di asrama penuh. Seeloknya, hal pendidikan untuk anak-anak ini janganlah diganggu,” katanya.

Beliau juga bimbang cadangan menaikkan gaji minimum kepada RM1,700 Februari depan, sambil mencadangkan Putrajaya melaksanakan semula Program Subsidi Upah bagi syarikat kecil.

Katanya, subsidi upah akan meringankan beban perniagaan untuk menanggung kenaikan gaji pekerja, selain merujuk perniagaan Bumiputera antara teruk terkesan kesan peningkatan gaji minimum.

Program Subsidi Upah diperkenalkan ketika pentadbiran Muhyiddin di tengah-tengah kemuncak pandemik Covid-19 bertujuan mengelak pemberhentian kerja besar-besaran akibat perintah kawalan pergerakan dan memastikan perniagaan kekal bertahan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.