‘Pelajar layak berdasarkan merit’, kumpulan ibu bapa persoal hapus subsidi
Magpie Melaka cadang pelepasan cukai kepada keluarga mempunyai anak di SBP atau IPTA, berbanding hapus subsidi kumpulan pendapatan teratas.
PETALING JAYA: Cadangan kerajaan mengurangkan subsidi pendidikan kepada kumpulan berpendapatan teratas diumumkan dalam Belanjawan 2025 hanya akan meruntuhkan moral pelajar dari golongan itu, kata kumpulan ibu bapa.
Pengerusi Kumpulan Tindakan Ibu Bapa Dalam Pendidikan Melaka (Magpie), Mak Chee Kin berkata ini kerana pelajar diterima masuk ke sekolah berasrama penuh (SBP) atau institusi pengajian tinggi awam (IPTA) sudah tentu layak dari segi merit.
“Tindakan (hapuskan subsidi) tidak wajar, melemahkan moral untuk anak-anak ini. Adakah mereka salah oleh kerana kekayaan ibu bapa mereka?
“Bayangkan apa akan terjadi jika semua anak T15 tidak berminat untuk ke IPTA kerana sistem ini,” katanya kepada FMT.
Jumaat lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2025 berkata kerajaan bercadang mengurangkan subsidi pendidikan secara berperingkat kepada golongan pendapatan teratas, yang hasilnya akan dimanfaatkan menambah baik prasarana SBP dan IPTA.
Anwar yang juga menteri kewangan berkata subsidi bagi seorang murid SBP mencecah RM15,000 setahun namun berdasarkan angka terkini, terdapat 30% murid dari keluarga berpendapatan tinggi.
Begitu juga di peringkat pendidikan tinggi di mana purata yuran pengajian setahun yang dibayar oleh penuntut sarjana muda farmasi ialah RM3,000 berbanding kos keseluruhan pengajian berjumlah RM30,000, katanya.
Sehubungan itu, Mak mencadangkan Putrajaya memperkenalkan pelepasan cukai kepada keluarga yang mempunyai anak di SBP atau IPTA, berbanding dasar penghapusan subsidi pendidikan.
“Cara ini lebih baik daripada menarik subsidi pendidikan dan anak mereka tidak akan dianiaya,” katanya.
Pengerusi Kumpulan Tindakan Ibu Bapa untuk Pendidikan (PAGE) Noor Azimah Rahim pula sangsi dengan dasar penghapusan subsidi itu mampu menyumbang semula kepada pembangunan institusi pendidikan.
Ini kerana, katanya, kelompok pelajar dari golongan T15 di SBP hanya melibatkan kelompok kecil, memandangkan institusi itu mengutamakan pelajar dari golongan kurang berkemampuan.
“Kami tidak yakin hasil pendapatan dari pembayaran yuran dari T15 besar dan signifikan menampung serta memperbaiki infrastruktur sekolah di mana kosnya juga tinggi.
“Adakah ini bermaksud lebih ramai golongan T15 akan dimasukkan ke SBP dan secara tidak langsung mengurangkan penempatan pelajar B40 semata-mata untuk meningkatkan hasil dari pendidikan?,” soalnya.
Ahad lalu, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata kerajaan sedang memperhalusi pengkelasan kategori T15 bagi memastikan penyasaran subsidi kerajaan adil kepada semua pihak.
Menurutnya, kerajaan kini sedang beralih kepada satu konsep baharu perbelanjaan bersih sesebuah isi rumah agar mereka menjalani kehidupan yang wajar.