LatestHeadlines

Fama lancar intervensi ‘halang’ harga sayur naik hingga 50%

By: Nora Mahpar

Aminuddin Zulkipli berkata Fama mempunyai dua kaedah untuk meningkatkan bekalan bagi menampung kekurangan sayur-sayuran dari Cameron Highlands.

Cover Image for Fama lancar intervensi ‘halang’ harga sayur naik hingga 50%
Media melaporkan berlaku penyusutan bekalan sayur dari Cameron Highlands disebabkan cuaca tidak menentu mengakibatkan sayur rosak akibat penyakit ulat. (Gambar AFP)

PETALING JAYA: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) akan melancarkan intervensi mengurangkan beban orang ramai susulan kenaikan harga sayuran sehingga 50% sejak awal bulan ini.

Media melaporkan kenaikan itu berpunca akibat kekurangan bekalan dari Cameron Highlands iaitu pembekal utama sayur-sayuran di Semenanjung disebabkan cuaca tidak menentu mengakibatkan sayur rosak akibat penyakit ulat.

Pengerusi Fama Aminuddin Zulkipli berkata pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan pengeluar sayur di Cameron Highlands bagi mendapatkan gambaran sebenar dakwaan penyusutan pengeluaran hasil sayuran.

“Jika benar ada pengurangan, kita akan jejak bekalan alternatif dengan melihat kebun-kebun di Selangor, Johor untuk tampung bekalan.

“Kemudian kita akan beli secara pukal sayur yang boleh bertahan lama contohnya labu dan kobis dan simpan di stor operasi Fama,” katanya kepada FMT.

Minggu lalu, Pengerusi Persatuan Pekebun Melayu Cameron Highlands Syed Abd Rahman Syed Abd Rashid dilaporkan berkata harga sayur di peringkat ladang naik 20% hingga 50% sejak awal bulan ini.

Menurutnya, ia ekoran keadaan cuaca semasa yang tidak menentu mengakibatkan penyakit kulat merebak hingga menjejaskan pengeluaran.

Mengulas lanjut, Aminuddin berkata sekiranya unjuran atau kiraan bekalan dari negeri lain tidak mencukupi untuk menampung keperluan semasa, Fama bersedia meningkatkan import bekalan sayuran dari negara pengeluar bagi menstabilkan harga.

“Fama bersedia dengan logistik dan ‘intervensi’, kerana kita sudah diarahkan melaksanakan langkah-langkah bersesuaian sekiranya berlaku penyusutan bekalan,” katanya.

“Pada tempoh biasa kita pun tetap kena import 10-15% bekalan sayur untuk pasaran domestik, namun ‘option’ menambah import akan diambil hanya jika padanan di negeri-negeri tidak mencukupi.”

Bagaimanapun, beliau memberi jaminan langkah-langkah meningkatkan import sayur itu adalah usaha sementara kerajaan dalam menstabilkan pasaran.