8 ajaran sesat dipantau, 12 dalam risikan, kata timbalan menteri

8 ajaran sesat dipantau, 12 dalam risikan, kata timbalan menteri

Zulkifli Hasan berkata agensi penguatkuasa agama melakukan risikan sekiranya ajaran terbabit melanggar akidah dan ajaran Islam.

Zulkifli Hasan berkata kerajaan telah mengaktifkan Jawatankuasa Pemandu Menangani Ajaran Sesat untuk mengenal pasti tindakan menyeluruh menangani isu mencemar akidah. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Lapan ajaran sedang dipantau secara komprehensif sekiranya berlaku kesesatan pengikut-pengikutnya, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Hasan.

Beliau berkata sebanyak 12 ajaran lagi dalam risikan dan siasatan pihak berkuasa sekiranya didapati melanggar akidah dan ajaran Islam.

“Kita sedang pantau secara dekat ada lapan ajaran di seluruh Malaysia… yang ni kita pantau secara komprehensif, selain itu ada 12 ajaran lagi yang kita membuat risikan dan siasatan,” katanya di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan tambahan Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) yang mahu tahu apakah hasil penguatkuasaan dilakukan pihak berkuasa agama negeri dalam usaha membanteras ajaran sesat dalam negara ini.

Zulkifli turut memaklumkan kerajaan sudah mengaktifkan semula Jawatankuasa Pemandu Menangani Ajaran Sesat untuk mengenal pasti pelan tindakan menyeluruh menangani isu-isu mencemar akidah umat Islam.

“Bukan sahaja ajaran GISBH diberi tumpuan, tetapi kita sedang pantau beberapa ajaran berkemungkinan sesat.

“Jawatankuasa telah bermesyuarat pada 1 Okt dengan majlis agama-agama negeri yang dipengerusikan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), kita tengok aspek pemulihan, perkahwinan, bantuan zakat, pusat pemulihan dan modulnya, dan ini telah pun mempunyai satu kerangka yang baik,” katanya.

Sebelum ini, beberapa negeri memutuskan pegangan dan fahaman dibawakan Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) bercanggah dan menyeleweng daripada ajaran Islam.

Negeri berkenaan antaranya Pulau Pinang, Perlis, Selangor, Pahang, Sabah dan Melaka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.