
Kementerian itu berkata, kuantiti tuntutan juga menurun sebanyak 47.4% dalam tempoh yang sama.
“Mulai tahun ini, kerajaan akan melaksanakan penyasaran semula subsidi secara berfasa bagi membendung ketirisan yang menyebabkan kerugian berbilion ringgit kepada negara.
“Melalui pelaksanaan penyasaran subsidi diesel ini, kerajaan menganggarkan penjimatan perbelanjaan mengurus sebanyak RM4 bilion setahun,” kata kementerian itu dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen.
Kementerian berkata demikian menjawab soalan Komander (B) Nordin Ahmad Ismail (PN-Lumut) yang ingin tahu sebarang kajian atau perancangan untuk menilai keberkesanan subsidi sedia ada dan adakah subsidi bersasar merupakan penyelesaian jangka panjang.
Kementerian Ekonomi berkata, setelah penyasaran semula subsidi dilaksanakan bagi ayam dan bil elektrik, kerajaan melaksanakan penyasaran subsidi diesel yang mensasarkan 23 jenis kenderaan pengangkutan barangan darat melalui Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS 2.0) menggunakan kaedah ‘fleet card’.
“Melalui kaedah ini, syarikat logistik yang diluluskan layak mendapat bekalan diesel di stesen minyak pada harga RM2.15 seliter,” katanya.
“Kenderaan pengangkutan awam darat termasuk bas sekolah, bas ekspres, bas henti-henti, ambulans dan bomba sukarela masih menikmati harga super subsidi pada RM1.88 seliter dan sektor nelayan pada RM1.65 seliter,” katanya.
Serentak dengan pelaksanaan langkah tersebut, kerajaan juga melancarkan program Budi Madani Individu dan Budi Madani Agri-Komoditi, iaitu pemberian bantuan tunai sebanyak RM200 sebulan kepada pemilik kenderaan diesel persendirian yang layak, termasuk petani kecil dan pekebun kecil komoditi.
“Bantuan tunai secara bulanan ini dapat mengimbangi kesan kenaikan harga diesel tanpa menjejaskan pendapatan boleh guna kumpulan sasar,” katanya.