Peruntukan 2 bajet iktiraf INCEIF penggerak ekonomi Islam Malaysia

Peruntukan 2 bajet iktiraf INCEIF penggerak ekonomi Islam Malaysia

Presiden INCEIF Azmi Omar berkata pihaknya telah dan akan menggunakan peruntukan daripada Belanjawan 2024 serta 2025 untuk tingkat keupayaan penyelidikan sektor kewangan Islam.

INCEIF bersama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia menerima RM10 juta untuk kajian ekonomi Islam dalam Belanjawan 2025. (Gambar INCEIF)
PETALING JAYA:
Peruntukan RM30 juta diperoleh dalam dua belanjawan kepada Pusat Antarabangsa Pendidikan Kewangan Islam (INCEIF) membuktikan pengiktirafan kerajaan kepadanya sebagai penggerak utama perkembangan ekonomi Islam.

Dalam Belanjawan 2024, INCEIF menerima dana RM20 juta yang digunakan bersama Pusat Kewangan Antarabangsa Malaysia (MIFC) untuk menubuhkan Dana Penyelidikan dan Inovasi Ekonomi Islam (IERIF).

Jumaat lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2025 mengumumkan RM10 juta kepada Universiti INCEIF bagi menyokong kajian bidang ekonomi Islam bersama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Presiden INCEIF, Azmi Omar, berkata pembiayaan untuk dua tahun berturut-turut itu membuktikan kepercayaan kerajaan terhadapnya memacu sumbangan bermakna kepada kemajuan kewangan Islam dan pemikiran ekonomi.

Azmi Omar.

“Kami komited menggunakan peruntukan ini untuk meningkatkan keupayaan penyelidikan, mengukuhkan program akademik dan membangunkan penyelesaian inovatif selaras prinsip maqasid syariah,” katanya kepada FMT.

Azmi menjelaskan, peruntukan diterima tahun ini digunakan untuk beberapa inisiatif penyelidikan antaranya menyediakan model takaful berasaskan wakaf bagi melindungi penduduk di kawasan berisiko banjir.

“Selain itu skim penjagaan kesihatan warga emas untuk meningkatkan jaringan keselamatan sosial dan penyelesaian digital inovatif berasaskan persekitaran bersih.

“IERIF juga membiayai indeks maqasid untuk mengukur pembangunan sosio ekonomi yang mampan dan pelbagai projek memberi impak,” katanya.

Menyentuh peruntukan baharu tahun depan, beliau berkata dana itu akan digunakan untuk kajian bersama UIAM bagi memupuk pemahaman lebih mendalam berhubung ekonomi Islam melalui wacana intelektual, pendidikan, program akademik dan penyelidikan.

Anwar ketika mengumumkan peruntukan itu berkata, usaha dua institusi pengajian tinggi (IPT) tersebut dapat meningkatkan kefahaman serta pemakaian nilai universal ekonomi Islam.

“Perkembangan penyelidikan dan pembangunan program akademik akan terus mencambah aplikasi ekonomi Islam dalam pembentukan dasar semasa selaras prinsip maqasid syariah yang adil, inklusif dan lestari untuk kemakmuran bersama,” kata Anwar yang juga menteri kewangan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.