Percepat ketibaan penerbangan, sistem kawalan trafik udara disemak

Percepat ketibaan penerbangan, sistem kawalan trafik udara disemak

Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook berkata langkah itu mampu mengurangkan pelepasan karbon.

Loke Siew Fook melancarkan program unit kuasa bantuan (APU) bagi mengurangkan pelepasan karbon di Terminal 2 KLIA.
SEPANG:
Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) akan menyemak keseluruhan sistem kawalan trafik udara negara bagi mempercepatkan ketibaan penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook berkata langkah berkenaan bukan sahaja mengurangkan pelepasan karbon, ia juga mampu mengurangkan penggunaan bahan api serta kos operasi untuk syarikat penerbangan.

“Untuk usaha penyahkarbonan, ia tidak boleh bergantung dengan satu pihak sahaja, semua pemegang taruh juga perlu kerjasama dan kerajaan akan pantau,” katanya selepas melancarkan program unit kuasa bantuan (APU) bagi mengurangkan pelepasan karbon di Terminal 2 KLIA.

Menurutnya, Pelan Tindakan Penyahkarbonan Penerbangan Malaysia (MADB) yang dilancarkan baru-baru ini telah menggariskan dasar berkaitan pelepasan karbon di lapangan terbang.

Terdahulu, AirAsia bersama Smart Airport Systems (SAS) mempamerkan penggunaan Unit terbabit bagi memenuhi keperluan elektrik dan penyejukan udara pesawat semasa ia berada di darat, tanpa memerlukan penggunaan APU.

Inisiatif itu dijangka mengurangkan penggunaan APU yang sebelum ini menyumbang kepada 12% pelepasan karbon pesawat di lapangan terbang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.