Langkah tepat BN salur wang tunai meski didakwa ‘dedak’, kata Wee

Langkah tepat BN salur wang tunai meski didakwa ‘dedak’, kata Wee

Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) berkata kerajaan kini meneruskan pemberian wang tunai seperti zaman pentadbiran BN kerana kaedah itu dapat merangsang ekonomi rakyat.

Wee Ka Siong berkata beliau menyokong langkah kerajaan menyalurkan bantuan wang tunai seperti pentadbiran BN dahulu. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Seorang Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) berkata bantuan wang tunai yang pernah dilabel ‘dedak’ ketika pentadbiran partinya dahulu, kini dianggap cara terbaik membantu rakyat susulan peningkatan peruntukan bagi Sumbangan Tunai Rahmah (STR).

Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2025, Jumaat lalu mengumumkan peruntukan STR meningkat dari RM10 bilion kepada RM13 bilion, bersama inisiatif Sumbangan Asas Rahmah (SARA).

Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) berkata pertambahan peruntukan diumumkan Anwar yang juga menteri kewangan dibuat kerana kaedah itu mampu merangsang ekonomi rakyat dengan lebih baik.

Menurutnya, pertambahan peruntukan itu juga menaikkan bantuan dari RM3,700 kepada RM4,000 manakala bantuan kepada orang bujang dan warga emas mendapat RM600.

“Maka betullah kerajaan BN dulu lakukan (salur Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M)) walaupun pernah digelar dedak atau rasuah.

“Tapi kini diteruskan kerana pemberian tunai membantu rakyat mengharungi cabaran hidup. Saya tak ada masalah kerana apa yang baik kita ‘move on’ dan sokong,” katanya membahaskan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat.

Pemberian tunai melalui BRIM kepada rakyat diperkenal pada 2012 ketika pentadbiran BN diketuai Najib Razak sebagai perdana menteri ketika itu.

Dalam perkembangan lain, Wee yang juga presiden MCA menyifatkan cadangan mengenakan sistem dua harga supaya 15% golongan maha kaya (T15) membayar harga pasaran RON95 manakala selain mengikut harga subsidi sebagai ‘idea kurang sempurna’.

“Tindakan itu akan merumitkan pengendali, pekerja stesen serta pengguna,” katanya.

Jelasnya, kerajaan sepatutnya mengenakan levi petrol kepada golongan T15 ketika memperbaharui cukai jalan bagi kenderaan petrol baharu yang bernilai RM300,000 ke atas.

Wee turut tidak berpuas hati dengan keputusan kerajaan mengurangkan subsidi pendidikan dan kesihatan terhadap golongan T15.

“Penyediaan akses pendidikan dan kesihatan yang baik adalah tanggungjawab utama Kerajaan tanpa perlu menganaktirikan mana-mana kelompok di negara ini.

“Sepatutnya asas pendidikan dan kesihatan disediakan secara percuma kepada semua rakyat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.