Kami sudah berdamai, kata pegawai Sanusi susulan video pertengkaran

Kami sudah berdamai, kata pegawai Sanusi susulan video pertengkaran

Salmy Anas berkata, beliau dan peniaga terbabit bertemu malam tadi dan saling bersalaman serta berpelukan, disaksikan beberapa individu lain.

sanusi aide
Terdahulu tular sebuah klip video menunjukkan pertengkaran membabitkan pembantu Menteri Besar Kedah Sanusi Nor.
PETALING JAYA:
Pegawai khas kepada Menteri Besar Kedah Sanusi Nor, Salmy Anas Ahmad berkata, beliau telah berbaik dengan peniaga yang terlibat dalam pertikaian dengannya, berikutan penyebaran video tular yang menunjukkan pertengkaran antara mereka.

Menurutnya, mereka bertemu di sebuah warung kira-kira 11 malam tadi sebelum saling bersalaman serta berpelukan sambil disaksikan beberapa individu lain.

“Sebenarnya antara saya dengan dia tak ada apa-apa isu pun. Kami sudah kenal lebih setahun lalu dan hubungan saya dengan beberapa peniaga di situ ibarat keluarga … kami macam adik-beradik.

“Saya selalu ke kedainya sebelum ini dan dia pun sambut dengan mesra. Cumanya pada malam itu, entah bagaimana berlaku kejadian sedemikian tapi apabila kami bertemu semalam, masing-masing berdamai dan bermaafan,” katanya, lapor Utusan Malaysia.

Mengulas tentang penyebaran video tular itu, Salmy berkata, ia mungkin dilakukan individu yang mempunyai agenda tersembunyi.

Menurutnya, pengadu yang membuat laporan polis itu bukanlah individu yang dilihat berbalah dan mencekak bajunya dalam kejadian tersebut.

“Sebaliknya laporan polis itu dibuat oleh orang yang tiada kena-mengena dengan kejadian itu. Laporan itu bukan dibuat oleh individu yang dilihat memarahi saya dalam video tersebut.

“Saya difahamkan orang yang buat laporan polis itu masih belum tarik laporan dan disebabkan itu, saya juga tidak menarik laporan yang dibuat semalam. Saya serahkan kepada pihak berkuasa untuk melakukan siasatan,” katanya.

Katanya lagi, beliau maklum wujudnya beberapa versi cerita berbeza yang tersebar di media sosial sejak kejadian itu.

Semalam, Ketua Polis Kota Setar Siti Nor Salawati Saad berkata, pihaknya sedang menyiasat video tular menunjukkan pertengkaran itu selepas menerima dua laporan daripada dua lelaki berusia 48 dan 54 tahun.

Dalam klip berdurasi 1 minit dan 20 saat itu, beberapa individu dilihat meluahkan rasa tidak puas hati terhadap seorang lelaki yang didakwa pembantu Sanusi.

Mereka menuduh pembantu Sanusi itu menyerang seorang peniaga pasar malam di Jalan Pegawai, namun dakwaan itu dinafikan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.