Dentuman ‘sonic boom’ di Ipoh, tentera udara nafi pesawat asing ceroboh

Dentuman ‘sonic boom’ di Ipoh, tentera udara nafi pesawat asing ceroboh

Tentera udara ulas dakwaan penganalisis pertahanan dentuman kuat di Ipoh semalam mungkin berpunca daripada jet pejuang.

Tentera udara juga nafi asetnya melakukan penerbangan pesawat pejuang di sekitar Ipoh. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Tentera udara nafi dakwaan dentuman ‘sonic boom’ terhasil akibat pencerobohan pesawat asing, susulan bunyi letupan dan gegaran berlaku di sekitar Ipoh, semalam.

“Tiada sebarang penerbangan pesawat pejuang tentera yang dilaksanakan di sekitar kawasan tersebut pada masa kejadian, termasuk juga kejadian pesawat asing yang dikatakan menceroboh ruang udara negara,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, semua pihak diminta tidak membuat sebarang spekulasi dan menyerahkan sepenuhnya kepada polis melakukan siasatan untuk mengenal pasti punca sebenar.

Semalam, Sinar Harian melaporkan penganalisis pertahanan, Zaki Salleh, berkata fenomena dentuman sonik yang dihasilkan jet pejuang mungkin antara punca berlaku dentuman kuat di beberapa kawasan sekitar Ipoh, pada 11.06 pagi.

Katanya, perkara itu tidak mustahil memandangkan kes sama pernah dilaporkan berlaku di Perth, Australia Ogos lalu melibatkan empat pesawat F-15 Angkatan Udara Republik Singapura RSAF yang menjalankan latihan di luar sebuah pangkalan tentera udara di Australia Barat.

Ketua Polis Perak Azizi Mat Aris mengesahkan tiada latihan berkaitan letupan dijalankan pihak Briged Utara Pasukan Gerakan Am, Ulu Kinta, dan juga aktiviti kuari sebelum 12 tengah hari.

Katanya, hasil semakan dengan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pula mendapati Malaysia khususnya di Ipoh tidak terkesan sebarang aktiviti seismik walaupun terdapat kejadian gempa bumi yang berlaku di Halmahera, Indonesia pada 11.24 pagi semalam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.