
Semalam, KWSP mengumumkan liputan mandatori untuk pekerja bukan warganegara sebagai usaha memperluaskan perlindungan sosial susulan pengumuman Belanjawan 2025 yang mewajibkannya, dengan pelaksanaan dibuat berfasa.
Selain kadar caruman tinggi itu, Ahmed Razman Abdul Latiff dari Putra Business School juga mencadangkan pengeluaran simpanan KWSP bagi pekerja asing hanya boleh dibuat pada usia 55 tahun.
Katanya, kadar dan syarat usia itu akan menguntungkan kerajaan kerana penambahan kadar dividen serta wang menerusi dana persaraan tersebut boleh digunakan untuk pelaburan masa depan.

“Kalau tengok kenaikan gaji minimum daripada RM1,500 kepada RM1,700 menunjukkan peningkatan 13%, jika caruman ditetapkan 13% maksudnya gaji bersih diperoleh sekitar RM1,500…sama sahaja dengan gaji sebelum wajib caruman KWSP.
“Bagi elak aliran tunai keluar negara selepas kadar gaji baharu, kerajaan kena tetapkan caruman 13% tetapi kalau 15% lagi bagus,” katanya kepada FMT.
Perkembangan berkait caruman KWSP pekerja asing turut menyusul pengumuman Perdana Menteri Anwar Ibrahim, kenaikan gaji minimum daripada RM1,500 kepada RM1,700 mulai Februari tahun depan.
Sekretariat Majlis Perundingan Gaji Negara dalam soalan lazimnya mengesahkan bayaran terbabit juga terpakai kepada warga asing. Bagaimanapun, kerajaan menangguhkan pelaksanaannya selama enam bulan untuk majikan mempunyai kurang lima pekerja.

Sementara itu, Aimi Zulhazmi dari Universiti Kuala Lumpur berkata penetapan dasar gaji minimum turut terpakai kepada warga asing diakui memberi kesan kepada aliran tunai wang ke luar negara yang kini dianggarkan RM30 bilion setahun.
“Indonesia paling tinggi dengan RM10.6 bilion diikuti Bangladesh (RM6.2 bilion) dan Nepal (RM5.9 bilion).
“Mungkin selepas ini majikan mengubah strategi dari guna buruh kepada penggunaan teknologi atau upah pekerja tempatan dengan gaji lebih tinggi tetapi mampu menjalankan pelbagai tugas sekali gus tingkat produktiviti,” katanya.