
Suspek berusia 23 hingga 28 tahun itu ditahan dalam beberapa serbuan berasingan di Pulau Pinang, Kedah serta Perak.
Ketua Polis Pulau Pinang, Hamzah Ahmad, berkata hasil siasatan mendapati sindiket itu menjalankan kegiatan pinjaman wang secara haram termasuk secara dalam talian.
Katanya, mereka turut melakukan khianat dengan menyasarkan mangsa pinjaman berkenaan.
“Dalam serbuan itu, polis merampas pelbagai barangan dipercayai digunakan bagi aktiviti pinjaman haram termasuk buku cek, buku catatan mengandungi senarai peminjam, empat telefon bimbit serta sebuah kereta Honda City.
“Semakan terhadap telefon bimbit yang dirampas turut membawa kepada penemuan 24 rakaman video kejadian simbah cat dan khianat dengan api yang dirakam suspek ketika melakukan jenayah itu di lokasi berasingan,” katanya dalam kenyataan media hari ini, menurut Berita Harian.
Beliau berkata, siasatan lanjut mendapati semua suspek terlibat dengan 27 kes khianat di Pulau Pinang Kedah, Perak, Selangor, Kuala Lumpur dan Melaka.
“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan, Seksyen 435 dan 436 akta sama serta Seksyen 29AA Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951.
“Polis menasihatkan orang ramai yang diganggu atau diugut Ah Long supaya segera buat laporan bagi membolehkan pihak polis mengambil tindakan lanjut,” katanya.