
Pengerusi Kumpulan Tindakan Ibu Bapa untuk Pendidikan (PAGE), Noor Azimah Rahim berkata belanjawan tersebut tidak menyediakan peruntukan yang signifikan untuk meningkatkan kemahiran bahasa Inggeris pelajar, meskipun Perdana Menteri Anwar Ibrahim menekankan kepentingan bahasa tersebut.
Azimah juga mempersoalkan ketiadaan peruntukan untuk memperkukuh Program Dwibahasa (DLP).
Pada Jun lalu, Anwar berkata pentingnya untuk memberi lebih fokus kepada mata pelajaran sains, teknologi, kejuruteraan, dan matematik (STEM) serta penguasaan bahasa Inggeris bagi memastikan generasi akan datang lebih kompeten.
“Nampaknya tiada jumlah peruntukan yang dikhaskan untuk bidang-bidang ini,” kata Azimah kepada FMT.
Bagaimanapun, beliau mengalu-alukan inisiatif kerajaan untuk mengurangkan kos pendidikan bagi keluarga berpendapatan rendah melalui peningkatan peruntukan bagi program makanan tambahan dan bantuan awal persekolahan.
Semasa membentangkan Belanjawan 2025 pada Jumaat, Anwar mengumumkan hampir RM800 juta dalam bantuan awal persekolahan akan diperuntukkan kepada semua 5.2 juta pelajar dari Tahun 1 hingga Tingkatan 5, tanpa mengira pendapatan ibu bapa mereka.
Peruntukan bagi program makanan tambahan juga meningkat kepada RM870 juta, naik RM86 juta berbanding belanjawan tahun ini. Program ini akan memberi manfaat kepada lebih 860,000 pelajar pada tahun depan.
Pengerusi Pengerusi Kumpulan Tindakan Ibu Bapa Dalam Pendidikan Melaka (Magpie), Mak Chee Kin kecewa kerana tiada peruntukan khusus untuk pembelajaran bahasa Inggeris walaupun Anwar menekankan kepentingannya semasa pembentangan bajet.
Mak menegaskan bahawa kerajaan perlu mengambil langkah tegas untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar bagi menyokong hala tuju negara dalam melatih lebih ramai pakar dalam bidang kecerdasan buatan (AI).
Presiden Ikatan Guru Muslim Malaysia (iGuru), Azizee Hasan, berkata belanjawan ini akan merapatkan jurang antara sekolah luar bandar dan bandar dengan peruntukan RM2 bilion untuk menaik taraf dan menyelenggara infrastruktur serta kemudahan digital sekolah.
Bagaimanapun, beliau bimbang kerana belanjawan tersebut tidak menyenaraikan sebarang geran khas untuk menyokong guru dalam meningkatkan standard pengajaran mereka.
Azizee berkata ramai guru terpaksa menggunakan perbelanjaan sendiri untuk membeli peralatan pengajaran dan pembelajaran.
Sebelum ini, Bank Dunia pada April lalu mencadangkan Malaysia memperkukuh program latihan guru serta melaksanakan dasar yang peka terhadap keperluan guru.
Kementerian pendidikan menjadi penerima terbesar dalam Belanjawan 2025 dengan peruntukan sebanyak RM64.1 bilion.