Lelaki rugi lebih RM80,000 angkara saham tak wujud

Lelaki rugi lebih RM80,000 angkara saham tak wujud

Polis berkata mangsa hanya menerima pulangan RM421 sepanjang tempoh pelaburan.

scammers
Mangsa yang tertarik dengan keuntungan dijanjikan membuat pelaburan dan melakukan dua transaksi ke dua akaun berbeza dengan modal keseluruhan berjumlah RM87,900.
JOHOR BAHRU:
Seorang lelaki kerugian RM87,479 selepas terpedaya skim pelaburan tidak wujud dalam talian yang menjanjikan pulangan lumayan pada 12 Ogos lalu.

Ketua Polis Johor Bahru Utara, Balveer Singh Mahindar Singh, berkata mangsa berusia 52 tahun menerima satu pautan daripada wakil syarikat Boci Club Members yang memperkenalkan diri sebagai ‘Mandy’ melalui WhatsApp.

Beliau berkata, ‘Mandy’ menawarkan pelaburan mengenai saham pratawaran awam permulaan (IPO) dengan menjanjikan pulangan keuntungan sebanyak 80% daripada modal dilaburkan.

“Mangsa yang tertarik dengan keuntungan dijanjikan telah membuat pelaburan dan melakukan dua transaksi ke dua akaun berbeza dengan modal keseluruhan berjumlah RM87,900, bermula 13 Sept hingga 15 Okt lepas.

“Namun, mangsa hanya menerima pulangan sebanyak RM421 sepanjang tempoh pelaburan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Balveer berkata, mangsa menyedari ditipu apabila dia diminta membuat bayaran tambahan sebanyak RM15,000 bagi tujuan pengeluaran keuntungan wang tersebut, sebelum membuat laporan polis semalam.

“Jumlah kerugian dianggarkan sebanyak RM87,479 dan kes disiasat bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.