
Penganalisis politik, Mohammad Tawfik Yaakub dari Universiti Malaya, berkata penggubalan akta baharu itu condong usaha kerajaan mengurangkan kos perbelanjaan tahanan dan operasi penjara.
“Mustahil satu RUU baharu digubal semata-mata nak bebaskan Najib. Takkan memperjudikan tahanan lain untuk hanya seorang sahaja.
“Kalau kerajaan atau Umno nak bebaskan Najib sudah semestinya telah dilakukan menerusi pembuktian titah adendum yang dikatakan wujud. Tapi, sehingga sekarang masih lagi tidak disahkan oleh mana-mana pihak,” katanya kepada FMT.
Sementara itu, pakar undang-undang Muzaffar Syah Mallow dari Universiti Sains Islam Malaysia, berkata kerajaan perlu menjalankan kajian mendalam supaya tiada ‘isyarat salah’ mengenai komitmen kerajaan membanteras jenayah.
Kes ringan layak tahanan rumah
Menurutnya, kerajaan perlu mengenal pasti banduan dibenarkan memohon tahanan rumah tidak disabit jenayah berat melibatkan kepentingan awam dan negara.
“Kes-kes melibatkan jenayah berat seperti bunuh, keganasan, jenayah seksual, rasuah, pecah amanah, dan salah guna kuasa tidak patut diberikan tahanan rumah.
“Tahanan rumah ini sepatutnya diberikan kepada kes kurang berat serta tidak melibatkan kepentingan awam dan negara sahaja,” katanya.
Bukan keistimewaan
Dalam pada itu, pakar Perlembagaan, Wan Ahmad Fauzi Wan Husain dari Institut Antarabangsa Pemikiran Islam dan Tamadun (Istac) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, berkata: “Hukuman perlu mengandungi aspek pemulihan akhlak serta bimbingan dan syarat tertentu agar tujuan dan falsafah suatu hukuman itu kekal.”
Tegasnya, RUU itu perlu mengandungi “syarat ketat” agar tidak dilihat sebagai satu “keistimewaan”.
Beliau berkata, tahanan rumah tidak boleh disempitkan, malah diperluas takrifannya di pusat pemulihan akhlak, pusat bimbingan agama, dan pusat latihan.
“Tahanan itu mestilah mempunyai aspek kawalan mencukupi dan tidak disempitkan tempat tahanan hanya di rumah,” katanya.
Beberapa pihak termasuk Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim, turut mempersoal sama ada langkah itu ‘persiapan awal’ bagi membina persetujuan awam meminda undang-undang ‘untuk meringankan hukuman bagi golongan elit tertentu’.
April lalu, timbul pendedahan terdapat titah tambahan dalam pengampunan diraja bagi membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara enam tahun di bawah tahanan rumah.