
Selaras keputusan Majlis Kongres Cuepacs untuk menyokong pelaksanaan SSPA, Presiden Adnan Mat menjelaskan penjawat awam berstatus tetap akan terus menikmati faedah pencen seperti biasa, selain menikmati kenaikan gaji lebih kompetitif mengikut keadaan ekonomi semasa.
“Formula digunakan dalam pengiraan pencen, ganjaran dan gantian cuti rehat masih sama seperti yang diperuntukkan dalam Peraturan-Peraturan Pencen 1980.
“Cuepacs percaya ketika ini semua pengurus sumber manusia setiap jabatan kerajaan telah mengadakan sesi libat urus mengenai Pekeliling SSPA bersama warga kerja masing-masing.
“Cuepacs berharap semua jabatan kerajaan memberi ruang sepenuhnya kepada kakitangan masing-masing untuk mengemukakan persoalan mengenai opsyen SSPA selain menyalurkan maklumat yang jelas dan tepat,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Adnan, penambahbaikan struktur gaji akan membantu meningkatkan pendapatan boleh guna bagi setiap penjawat awam sekali gus membantu mereka dalam menghadapi kos sara hidup yang semakin meningkat.
Selain itu, katanya, penjawat awam juga akan menerima peluang kenaikan pangkat lebih adil melalui pelaksanaan SSPA.
“Proses kenaikan pangkat akan menjadi lebih telus dan berasaskan prestasi serta meritokrasi bagi memastikan setiap usaha penjawat awam dihargai dengan sewajarnya.
“Dengan penekanan kepada prestasi dan kualiti kerja, penjawat awam berpeluang untuk meningkatkan kemampuan diri dan mencapai lebih banyak kejayaan dalam kerjaya,” katanya.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada pembentangan Belanjawan 2025, Jumaat lalu berkata menerusi pelaksanaan skim itu kadar gaji minimum penjawat awam ditetapkan pada paras RM2,115 sebulan.
SSPA akan menggantikan Skim Saraan Malaysia (SSM), bermula Disember ini menyaksikan kira-kira 1.6 juta penjawat awam mendapat pelarasan gaji baharu selepas kali terakhir disemak pada 2013.
Anwar ketika mengumumkan perkara itu pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) Ke-19 pada Ogos lalu berkata penjawat awam bakal menerima pelarasan gaji 15% kepada kumpulan pelaksana, manakala pengurusan tertinggi naik 7%.
Pelarasan gaji akan dilaksanakan secara bertahap dengan fasa pertama bermula 1 Dis ini, manakala fasa seterusnya akan bermula 1 Jan 2026.