
Justeru, beliau menasihatkan rakyat tidak membuat sebarang spekulasi mengenainya dan pengumuman hanya akan dibuat tahun depan.
“Penarikan subsidi petrol khasnya ditujukan kepada mereka yang berkemampuan, iaitu individu sememangnya tidak layak menerima subsidi, seperti kumpulan pendapatan 15% teratas (T15) dan warga asing.
“Saya tidak fikir kita patut membuat spekulasi mengenai kadar ambang pendapatan buat masa ini. Perkara paling penting sekarang ialah mengkaji data dengan baik dan memastikan (subsidi bersasar) memfokuskan kumpulan betul,” katanya selepas menghadiri Majlis Makan Malam Gala Diraja meraikan ulang tahun ke-120 St John’s Institution di sini, malam tadi.
Susulan pembentangan Belanjawan 2025 Jumaat lalu, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengkritik kerajaan dengan mendakwa ia merancang menaikkan ambang pendapatan untuk bantuan kebajikan.
Beliau berkata, ia secara tidak sengaja akan memberi kesan kepada kumpulan berpendapatan sederhana.
Memetik data Jabatan Perangkaan, Syed Saddiq berkata, menghapuskan subsidi kesihatan, petrol dan pendidikan untuk T15 boleh mengakibatkan keluarga berpendapatan gabungan sekitar RM12,000 atau individu bergaji RM7,000 hilang subsidi disasarkan.
Dalam ucapan belanjawannya, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim yang juga menteri kewangan mengumumkan subsidi bersasar untuk petrol RON95 akan dilaksanakan pada pertengahan 2025, dengan 85% penduduk masih menerima subsidi.
Amir turut menolak dakwaan Ahli Parlimen Perikatan Nasional, Wan Saiful Wan Jan bahawa Belanjawan 2025 tidak memberangsangkan.
Menurutnya, belanjawan itu mengimbangi keperluan memacu ekonomi dan membantu golongan kurang berkemampuan.
Katanya, belanjawan itu akan menggembleng dana kerajaan dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) untuk meningkatkan perbelanjaan pembangunan.
“Perbelanjaan pembangunan sebanyak RM86 bilion. Jika anda lihat apa yang dilakukan GLIC, jumlah perbelanjaan pembangunan akan meningkat sehingga RM120 bilion. Itulah komitmen kukuh untuk mengembangkan negara.
“Pada masa sama, kita menjaga rakyat dengan menaikkan gaji dan memberi bantuan kepada mereka yang masih bergelut. Ia belanjawan seimbang dan kukuh.”
Dengan peruntukan berjumlah RM421 bilion, belanjawan persekutuan 2025 yang terbesar dalam sejarah, dengan peningkatan RM27.2 bilion berbanding RM393.8 bilion yang diperuntukkan untuk tahun ini.