Kerajaan waspada waris berebut hak jagaan anak terkait GISBH

Kerajaan waspada waris berebut hak jagaan anak terkait GISBH

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Nancy Shukri berkata ada kes ibu dan bapa saling menuntut.

rumah amal gisbh
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata 96 permohonan daripada ibu bapa, menuntut lebih 200 kanak-kanak diselamatkan dalam Op Global. (Gambar PDRM)
PETALING JAYA:
Kerajaan waspada untuk memulangkan kanak-kanak diselamatkan dalam Op Global terkait Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) kepada ibu bapa kerana dibimbangi berlaku perebutan hak jagaan.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Nancy Shukri, berkata ada kes di mana terdapat permohonan dilakukan ibu dan juga bapa.

“Jika diberi (hak jagaan) kepada bapa, tetapi emaknya juga menuntut, kami yang salah. Ada temu duga perlu dilakukan. Saya harap orang ramai faham apabila anak-anak ini diselamatkan, ia bukan diambil daripada ibu bapa jadi kita yang memegang amanah,” katanya menurut Berita Harian.

“Kita perlu melakukan siasatan supaya anak diserahkan kepada ibu bapa yang sebenar. Takut ada kes yang bapa berkahwin lebih daripada satu. Kalau bapanya ambil kita takut isterinya yang lain menjaga (anak). Jadi proses ini kami perlu lakukan dengan teliti.

Beliau turut mengingatkan ibu bapa kanak-kanak diselamatkan akan dihubungi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk proses temu duga.

“Kita mahu serahkan anak ini kepada yang berhak. Sesetengahnya (ibu dan bapa) sudah tidak lagi bersama. Kita perlu ada kesangsian supaya kita dapat jalankan tugas dengan betul untuk keselamatan anak-anak,” katanya.

Katanya, setakat ini, terdapat satu kes membabitkan perebutan hak jagaan.

Terdahulu, dilaporkan melaporkan pihak kementerian menerima 96 permohonan daripada ibu bapa, menuntut lebih 200 kanak-kanak yang diselamatkan dalam Op Global.

Nancy berkata, ketika ini semua permohonan sudah diteliti dan pihaknya dalam proses memohon kepada mahkamah untuk mengembalikan mereka kepada ibu bapa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.