Kerajaan perhalusi mekanisme harga 2 peringkat subsidi RON95

Kerajaan perhalusi mekanisme harga 2 peringkat subsidi RON95

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata dua peringkat itu membabitkan individu tidak layak mendapat subsidi dan 85% golongan layak.

pump petrol
Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata mekanisme penyasaran subsidi RON95 sedikit berlainan dengan subsidi diesel yang dilihat agak mudah kerana mempunyai ‘fleet card’.
PETALING JAYA:
Kerajaan sedang memperhalusi mekanisme pelaksanaan kaedah harga dua peringkat bagi penyasaran subsidi petrol RON95, kata Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.

Menurutnya, dua peringkat itu membabitkan individu tidak layak mendapat subsidi dan 85% golongan layak.

“Disebabkan itu, mekanismenya perlu dibincang. Sudah tentu, kita tahu apa nak dilakukan, tapi biarlah kita lalui prosesnya membabitkan stesen minyak dan pihak berkaitan,” katanya menurut Harian Metro selepas merasmikan Sambutan Hari Statistik Negara dan Pra Pelancaran Laman Statistik Jabatan Perangkaan di Putrajaya.

Ketika membentangkan Belanjawan 2025 Jumaat lalu, Anwar Ibrahim mengumumkan penyasaran subsidi RON95 dijangka dilaksanakan pertengahan tahun depan.

Anwar berkata, kerajaan boleh jimat sehingga RM8 bilion, hasil 40% subsidi RON95 yang dinikmati warga asing dan golongan maha kaya ketika ini.

Rafizi berkata, mekanisme penyasaran subsidi RON95 sedikit berlainan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel.

Ini kerana, katanya, penyasaran subsidi diesel dilihat agak mudah kerana mempunyai “fleet card”.

“Kumpulan yang dapat harga subsidi ini hanyalah syarikat pengangkutan dan logistik, jadi kita boleh beri ‘fleet card’. Tetapi untuk rakyat (penyasaran subsidi RON95), kita ada 30 juta orang dan tak boleh beri ‘fleet card’ kepada semua.

“Jadi, itu yang sekarang ini dibincang dan diperhalusi untuk pelaksanaan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.