
PETALING JAYA: Enam kematian akibat wabak rabies atau penyakit anjing gila direkodkan di Sarawak tahun ini, kata Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Dr Akma Ngah Hamid.
Justeru, beliau menggesa individu memelihara anjing memastikan haiwan peliharaan mereka mendapat suntikan anti-rabies.
“Penyakit rabies disebabkan jangkitan Lyssavirus daripada haiwan masih berlaku di Sarawak dan tahun ini saja, ia mencatatkan enam kematian membabitkan manusia.
“Bermula kes pertama rabies dilaporkan di Sarawak pada Julai 2017 hingga hari ini, 81 kes jangkitan dalam kalangan manusia dengan 74 kematian direkodkan di negeri itu,” katanya menurut Harian Metro pada Majlis Perasmian Hari Kebajikan Haiwan & ‘World Rabies Day’ Peringkat Kedah di Langkawi.