Tiada pelajar terpinggir dengan peruntukan terbesar KPM, kata menteri

Tiada pelajar terpinggir dengan peruntukan terbesar KPM, kata menteri

Menteri pendidikan berkata peruntukan itu adalah komitmen besar untuk KPM dalam memastikan sistem pendidikan negara terus cekap.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata semua pelajar akan mendapat manfaat cukup besar melalui Belanjawan 2025.
KUALA LUMPUR:
Peruntukan terbesar RM64.1 bilion diterima Kementerian Pendidikan (KPM) dalam Belanjawan 2025 membuktikan tiada pelajar terpinggir untuk mendapatkan bantuan dan kemudahan di sekolah.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata peruntukan itu adalah komitmen besar untuk KPM dalam memastikan sistem pendidikan negara terus cekap.

“Anak kita semua dapat manfaat yang cukup besar seperti (mendapat) sekolah baru.

Fadhlina Sidek.

“Kemudian inisiatif melibatkan kantin (dan) surau. Ini termasuk di Sabah dan Sarawak (untuk) meneruskan komitmen baiki sekolah-sekolah daif,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Karnival Intervensi Awal Lestari 2024.

Ketika pembentangan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat semalam, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan sebanyak RM64.1 bilion untuk KPM, berbanding RM58.7 bilion tahun ini, iaitu tertinggi dalam sejarah.

Anwar berkata, sebanyak RM2 bilion diperuntukkan untuk projek naik taraf dan penyelenggaraan sekolah seluruh negara.

Selain itu, RM1 bilion dikhususkan untuk menyelenggara semua jenis sekolah, terutama keadaan bilik darjah yang uzur, termasuk sekolah kebangsaan, SJK Cina dan Tamil, sekolah agama, sekolah dalam kem tentera dan sekolah pendidikan khas.

Sementara itu, Fadhlina menyambut baik pengumuman pembinaan 11 Pusat Permata baharu bagi melengkapkan setiap negeri dengan pusat didikan anak-anak autistik.

Beliau berharap peruntukan diterima itu dapat meningkatkan lagi kualiti pendidikan dalam negara.

“Secara keseluruhannya saya sifatkan sebagai belanjawan yang memenuhi keperluan semua anak-anak kita,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.