
Bagi 2024, Sabah dan Sarawak diperuntukkan perbelanjaan pembangunan sebanyak RM6.6 bilion serta RM5.8 bilion, tetapi jumlah itu hanya meningkat sedikit kepada RM6.7 bilion untuk Sabah dan RM5.9 bilion bagi Sarawak tahun depan.
Pengerusi Sabah Action Body Advocating Rights, Zainie Abdul Aucasa, berkata kenaikan itu tidak mencukupi, dengan peruntukan untuk keperluan asas seperti bekalan air, elektrik, ketersambungan dan jalan raya kekal di tahap sangat rendah berbanding Semenanjung.
Peter John Jaban, pengasas Saya Anak Sarawak, berkata peruntukan itu gagal memenuhi keperluan penduduk Malaysia Timur yang semakin meningkat. “Kami masih tiada jalan yang baik dan banyak jambatan diperlukan untuk memastikan akses ke tempat penting seperti sekolah.”
Simon Siah, pengarah bagi pertubuhan hak asasi manusia Lawyer Kamek for Change, juga berkata peruntukan itu tidak mencukupi memandangkan saiz negeri Borneo yang luas berbanding Semenanjung.
Beliau mengkritik pembangunan perlahan di kawasan luar bandar khasnya di Sarawak di mana masyarakat masih bergantung kepada jalan balak tidak diselenggara dengan baik.
“Selepas lebih 60 tahun di Malaysia, ramai rakyat Sarawak masih menggunakan jalan balak dibina syarikat yang merampas tanah dan mata pencarian mereka.”
Sekolah daif
Zainie turut membangkitkan kebimbangan terhadap kekurangan dana untuk menaik taraf sekolah daif di Sabah.
Diumumkan RM1 bilion akan diperuntukkan untuk menaik taraf infrastruktur daif di 543 sekolah khasnya Sabah dan Sarawak.
Selain keadaan kantin dan tandas daif, Zainie berkata ramai guru – terutama berasal dari Semenanjung Malaysia – ditempatkan di tempat tinggal tidak mencukupi.
Menurutnya, ramai guru terpaksa menyewa tempat tinggal jauh dari sekolah yang tidak selamat buat guru wanita, justeru kerajaan perlu membina tempat tinggal sesuai untuk mereka.
Masalah tanah NCR
Siah kecewa dengan kekurangan dana untuk tinjauan tanah hak adat Bumiputera (NCR) di Sarawak, rungutan ketara masyarakat Orang Asal kerana banyak tinjauan masih tidak lengkap disebabkan kemajuan perlahan.
Beliau menggesa usaha bersepadu dan belanjawan bersasar untuk melengkapkan tinjauan NCR di Sarawak sepenuhnya, dengan menekankan isu itu penting bagi perlindungan hak tanah Bumiputera.
Minggu lalu, Siah menggesa pasukan petugas menangani isu NCR di Sarawak kerana ramai Orang Asal tiada jaminan hak milik atas tanah kediaman mereka, menyebabkan mereka sentiasa takut diusir.