Sewa helikopter lebih jimat, kata Adly

Sewa helikopter lebih jimat, kata Adly

Timbalan menteri pertahanan berkata kaedah sewaan dibuat ambil kira ia digunakan bagi perkhidmatan logistik.

black hawk
Kementerian Pertahanan masih menunggu penghantaran empat helikopter Black Hawk sehingga hujung bulan ini. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Kementerian Pertahanan menyewa aset seperti helikopter bagi kegunaan tentera kerana lebih menjimatkan memandangkan ia digunakan bagi perkhidmatan logistik, bukan pertempuran.

Timbalan Menteri, Adly Zahari, berkata sewaan helikopter daripada syarikat swasta juga bergantung keperluan semasa.

“Pembelian pelbagai aset terutama membabitkan helikopter memerlukan kewangan besar, berbanding sewaan.

“Kita sudah kenal pasti aset (helikopter) mana yang boleh disewa kerana kaedah itu lebih menjimatkan kewangan negara, terutama (dalam aspek) membabitkan kos penyelenggaraan,” katanya menurut Berita Harian selepas merasmikan Program Pemerkasaan Usahawan Veteran (Puvet) di Kuala Terengganu.

Pada 5 Okt, Panglima Angkatan Tentera Mohammad Ab Rahman, berkata pihaknya dijangka menerima helikopter Black Hawk sebelum hujung bulan ini.

Jika syarikat terlibat masih gagal membuat penghantaran mengikut tarikh ditetapkan, pihaknya akan menggesa Bahagian Perolehan mengambil tindakan tegas selari syarat dalam surat lanjutan tersebut.

Pada 1 Sept, Menteri Pertahanan Khaled Nordin berkata pihaknya akan membatalkan perolehan sewaan empat pesawat Black Hawk jika aset itu tidak diterima sehingga Oktober ini.

Beliau berkata, seandainya kontrak tersebut dibatalkan, spesifikasi dan penjenisan helikopter yang sama, iaitu helikopter utiliti tempur, wajar digantikan bagi memenuhi keperluan operasi serta keperluan staf am pasukan udara tentera.

Keselamatan Malbatt

Dalam pada itu, Adly mengulas kebimbangan ahli keluarga berkait keselamatan Pasukan Batalion Malaysia (Malbatt) di Lubnan, berkata pihaknya sentiasa berkomunikasi bagi mendapatkan laporan harian anggota di negara itu.

“Setakat ini, semua anggota Malbatt dalam keadaan selamat, tetapi kita akan membuat penilaian terutama posisi dari semasa ke semasa bersama Unifil,” katanya.

Pada 17 Okt, dilaporkan pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) itu diserang secara sengaja oleh Israel. Sebuah kereta kebal Merkava milik rejim Zionis melepaskan tembakan ke arah menara kawalan sehingga menyebabkan dua kamera musnah serta menara tersebut mengalami kerosakan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.