
Timbalan Perdana Menteri, Zahid Hamidi, berkata penambahbaikan itu bertujuan merancakkan industri halal kerana tempoh permohonan sijil halal mengambil masa agak lama hingga sembilan bulan sebelum ini.
“Dulu sembilan bulan, kita kurangkan enam bulan (kemudian) kurangkan kepada tiga bulan. Daripada tiga bulan, saya minta 23 hari dan itu kita telah capai. (Sekarang) kita kurangkan kepada 15 hari.
“Ini telah berjalan dan setakat ini kami berpuas hati dengan apa yang sedang berjalan. Kolaborasi antara Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) dengan pelbagai pihak seperti HDC (Halal Development Corporation Bhd) dengan Matrade (Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia) dan akademi halal.”
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Halal On Track (HOT) @ Pahang di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini.
Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Mohd Na’im Mokhtar dan Menteri Besar Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail.
Zahid berkata, penambahan 100 juruaudit halal Jakim yang diumumkan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim semasa pembentangan Belanjawan 2025 semalam dapat membantu mempercepat serta melancarkan lagi proses pengeluaran sijil halal bagi memenuhi permintaan dalam mahupun luar negara.
Buat masa ini, menurutnya, Jakim bekerjasama dengan lima institusi pengajian tinggi (IPT) bagi menyediakan juruaudit halal yang akan turut menjadi pegawai menentukan piawaian halal dan ditempatkan di syarikat mempunyai sijil halal untuk memastikannya mematuhi piawaian ditentukan.
“Ini secara tidak langsung (akan) membuka peluang kepada mereka yang asalnya berada di maahad tahfiz, pemegang diploma atau ijazah dari beberapa IPT yang mengikuti kursus ini untuk bekerja di syarikat (ini) terutamanya syarikat yang mengeksport produk ke luar negara.
“…untuk memastikan kita tidak akan berkompromi dari segi Halalan Toyyiban yang telah ditentukan Jakim.”
Beliau yang juga pengerusi Majlis Halal Malaysia dalam ucapannya berkata, dalam merancakkan industri halal negara, ia tidak boleh dilakukan secara sendiri, tetapi perlu bersama dalam mencipta pengubah keadaan, khususnya dalam aspek pensijilan halal.
“Kita perlu mendengar semua maklum balas dan menambah baik proses pensijilan. Melalui bengkel halal, beberapa inisiatif utama dicadangkan untuk mempercepat proses kelulusan dan mengurangkan kadar kegagalan permohonan.
“Antaranya, memastikan pemilik industri pengurusan tertinggi, penyelia dan eksekutif halal menerima latihan menyeluruh mengenai keperluan pensijilan. Saya percaya pemain industri perlu dibimbing dengan maklumat tepat dan berlandaskan undang-undang jelas. Hanya dengan ini, proses pensijilan halal dapat dipermudah dan risiko kegagalan diminimumkan.”
Melihat usaha bimbingan itu dapat dibantu menerusi program Halal On Track (HOT) yang diperkenalkan Ogos 2023, katanya, program tersebut membuktikan komitmen kerajaan dalam memacu pertumbuhan industri halal negara.
Beliau berkata, ia bukan saja platform menyediakan pelbagai maklumat, tetapi juga membuka peluang perniagaan kepada pemegang sijil halal, mendapat bimbingan dan latihan bagi memenuhi keperluan pensijilan.
“Harapan saya agar Halal On Track menjadi platform yang memperkasakan rantaian nilai halal di peringkat domestik dan antarabangsa, dengan melahirkan lebih ramai usahawan mampu menerajui pasaran global halal.
“Di peringkat domestik, data jelas menunjukkan peningkatan dalam permohonan sijil halal setiap tahun. Pada 2023, kita menerima 15,605 permohonan meningkat daripada 14,977 pada tahun sebelumnya (2022).
“Setakat September 2024, sebanyak 14,707 permohonan diterima dan saya percaya angka ini akan mencecah lebih 16,000 lebih-lebih lagi dengan usaha dilakukan seperti pelaksanaan HOT.”