
K Kumaran dan Chee Yeoh Keen yang juga Adun Bagan Dalam serta Bagan Jermal di Pulau Pinang berkata, kritikan Ong terhadap Pengerusi DAP, Lim Guan Eng bertujuan menimbulkan kekeliruan.
Lim ialah Ahli Parlimen Bagan, dengan DUN Bagan Dalam dan Bagan Jermal terletak di bawah kawasan Parlimen itu.
“Lim tidak pernah menyalahkan mahupun mempersoalkan (Exco) Zairil Khir Johari atau kerajaan negeri kerana dana itu daripada kerajaan persekutuan, bukannya kerajaan negeri.
“Sebaliknya, Zairil tampil mempertahankan pegawai kerajaan persekutuan bertanggungjawab ‘merampas’ dana jalan raya dari kawasan Parlimen Bagan. Kenapa cuba menutup isu ini?” Kumaran beritahu FMT.
Khamis lalu, Ong dilaporkan menuduh DAP sudah berubah, selepas Lim mendakwa sebahagian peruntukan dana untuk menaik taraf jalan persekutuan disalurkan ke Tasek Gelugor, kawasan pembangkang.
Ong yang menyertai DAP pada 2012 berkata, parti itu tidak akan membenarkan pengerusinya mempersoalkan exco dari parti sendiri secara terbuka.
Menurutnya, kritikan Lim mencerminkan komitmen parti itu terhadap pengagihan sumber kerajaan yang adil.
Tetapi, Kumaran dan Chee membidas Ong atas kenyataan itu.
“Ong bukan saja bohong, bahkan cuba mengelirukan isu itu dengan membangkitkan soal peruntukan sama rata,” kata Kumaran.
“Bagan hanya mendapat 17.2% daripada RM4.15 bilion diperuntukkan bagi projek pembangunan di Seberang Perai Utara. Dana untuk Bagan itu dirampas dan itu masalahnya.”
Chee yang senada dengan Kumaran berkata: “Dia bukan ahli DAP yang kami kenal. Jika Ong masih Ahli Parlimen, adakah beliau akan menyokong rampasan dana untuk kawasannya?”
Dua Adun itu bagaimanapun menolak tanggapan DAP menggesa kerajaan mengabaikan kawasan pembangkang. Mereka menegaskan Bagan menerima dana pembangunan lebih kecil dari kawasan lain di daerah itu.
Pertikaian itu berpunca daripada dakwaan Lim bahawa RM1.4 juta daripada RM5.6 juta yang diperuntukkan untuk Bagan diambil untuk projek di Tasek Gelugor. Ahli Parlimen Bagan itu menuntut dana berkenaan dikembalikan dan menggesa tindakan dikenakan terhadap pegawai persekutuan bertanggungjawab.
Zairil menjelaskan RM5.6 juta itu digunakan untuk menaik taraf jalan yang melalui dua kawasan terbabit, di mana RM4.2 juta daripada jumlah itu dibelanjakan untuk bahagian jalan di Bagan dan baki RM1.4 juta untuk bahagian dalam Tasek Gelugor.
FMT cuba menghubungi Ong untuk mengulas.