
Ketua Bersekutu Bersatu, Chong Fat Full sebaliknya menyifatkan teguran Rafiq demi meraih undi bagi merebut jawatan naib presiden dalam pemilihan parti bulan depan.
“Mungkin itu caranya nak memancing undi daripada perwakilan,” katanya kepada FMT merujuk Rafiq antara enam calon merebut tiga jawatan naib presiden.
Lima calon lain bagi jawatan naib presiden ialah Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu, dua penyandang Ronald Kiandee serta Radzi Jidin, Ketua Penerangan Razali Idris dan Ketua Bersatu Batu Kawan Aziss Zainal Abidin.
Selasa lalu, Chong dilaporkan berharap sayap itu turut diberi peluang mengundi bagi lima jawatan tertinggi parti dalam pemilihan pada masa akan datang yang didakwa bagi menggambarkan wujud layanan sama rata dengan sayap lain dalam Bersatu.
Susulan itu, Rafiq yang bertanding jawatan naib presiden menegur sayap itu tidak “meminta” di media untuk terbabit proses pemilihan lima jawatan tertinggi parti, sebaliknya membawa usul itu dalam mesyuarat MPT.
Katanya, Bersatu terbuka mendengar pandangan walaupun perlembagaan parti menetapkan ahli sayap Bersekutu hanya terbabit memilih pimpinannya dan beliau turut mencabar Chong “bertukar angin” jika merasakan Bersatu tidak sesuai dengan perjuangan dibawanya.
Sayap Bersekutu Bersatu ditubuhkan secara rasmi pada 2021 dan terdiri daripada ahli bukan Bumiputera. Mereka hanya boleh bertanding untuk merebut jawatan dalam sayap itu.
Chong berkata, kenyataannya supaya sayap Bersekutu diberikan peluang menyertai proses pemilihan lima jawatan tertinggi parti hanya menjawab pertanyaan media, bukannya untuk membelakangi perbincangan dalaman parti kerana cadangan itu memerlukan pindaan perlembagaan Bersatu untuk dilaksanakan.
“Jadi, tidak timbul soal sayap Bersekutu tak puas hati (tidak boleh memilih pucuk pimpinan pusat), sekarang ini fokus kita perkuatkan parti.
“Kita serah kepada kebijaksanaan pucuk pimpinan menilai cadangan sayap Bersekutu untuk dibenarkan pilih pemimpin peringkat induk, selaras idealisme parti iaitu inklusif, sederhana, demokratik, integriti dan prihatin.”