RM600 juta pulihara Bangunan Sultan Abdul Samad, Carcosa Seri Negara

RM600 juta pulihara Bangunan Sultan Abdul Samad, Carcosa Seri Negara

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata langkah itu sebahagian usaha kerajaan memelihara Kuala Lumpur sebagai bandar raya budaya dan kreatif.

Nilai Bangunan Sultan Abdul Samad akan ditingkatkan menerusi usaha pemuliharaan kerajaan. (Gambar Wikipedia)
PETALING JAYA:
Khazanah Nasional memperuntukkan RM600 juta untuk memulihkan serta mengangkat nilai Bangunan Sultan Abdul Samad dan Carcosa Seri Negara.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata langkah itu sebahagian usaha kerajaan memelihara Kuala Lumpur sebagai bandar raya budaya dan kreatif.

“Khazanah menyediakan RM600 juta untuk memulih serta mengangkat nilai Bangunan Sultan Abdul Samad dan Carcosa Seri Negara.

“Ini termasuk membina jambatan bertingkat menghubungkan Taman Botani Perdana dengan Carcosa Seri Negara,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat.

Beliau yang juga menteri kewangan turut mengumumkan RM550 juta bagi mempergiat promosi pelancongan sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.

Menurutnya, peruntukan itu akan digunakan bagi penganjuran aktiviti budaya, pelancongan dan capaian penerbangan ke Malaysia serta pemerkasaan ekonomi komuniti melalui seni termasuk mempromosi kraftangan dan batik.

Jelasnya, RM110 juta turut disediakan bagi melengkapkan kawasan pelancongan, menjalin kerjasama ekopelancongan dan menyokong pencalonan Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (Unesco) .

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.