
Timbalan Speaker Ramli Nor memaklumkan beliau diberi tanggungjawab mempengerusikan majlis pembentangan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang juga menteri kewangan pada 4 petang ini.
Menurutnya, sebelum ini majlis terbabit lazimnya dipengerusikan speaker.
“Ini sejarah buat saya sebagai bekas pegawai polis bersara dan berketurunan masyarakat Orang Asli Semenanjung Malaysia, khususnya sebagai anak Pahang.
“Doakan semoga berjalan lancar,” kata Ahli Parlimen Cameron Highlands itu dalam kenyataan.
Bertemakan ‘Ekonomi Madani, Negara Makmur, Rakyat Sejahtera’, ia adalah belanjawan ketiga oleh kerajaan perpaduan ditadbir Anwar, selain terakhir di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (2021-2025) sebelum beralih kepada Rancangan Malaysia Ke-13 untuk tempoh lima tahun akan datang.
Pada 7 Okt lalu, Anwar menyatakan keyakinan terhadap Belanjawan 2025 selepas menandatangani dokumen rasmi belanjawan itu di Kementerian Kewangan.
“Insya-Allah, pada pembentangan belanjawan 18 Okt ini, lebih banyak pembaikan kepada struktur ekonomi akan diperkenalkan untuk memastikan pertumbuhan ekonomi lebih pesat ini dapat dikongsi dengan rakyat terbanyak secara saksama,” katanya.