Peruntukan RM65 juta bantu pekebun kecil peroleh MSPO, kata Johari

Peruntukan RM65 juta bantu pekebun kecil peroleh MSPO, kata Johari

Menteri komoditi dan perladangan berkata peruntukan yang diterima digunakan bagi membantu pekebun kecil meneruskan program penanaman semula.

Menteri Komoditi dan Perladangan Johari Abdul Ghani berkata peningkatan dalam penanaman semula akan memberi manfaat kepada pekebun-pekebun kecil. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Peruntukan RM65 juta menerusi Belanjawan 2025 diharapkan dapat memberi suntikan kepada lebih ramai pekebun kecil untuk mendapatkan Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO), kata Menteri Komoditi dan Perladangan Johari Abdul Ghani.

Daripada peruntukan tersebut, beliau berkata sebanyak RM50 juta akan digunakan untuk MSPO manakala RM15 juta akan digunakan bagi melawan kempen antiminyak sawit Malaysia.

Selain itu, Johari berkata peruntukan sebanyak RM100 juta yang diterima kementeriannya juga akan digunakan bagi membantu pekebun-pekebun kecil meneruskan program penanaman semula.

“Walaupun tahun lepas kita sudah menerima RM100 juta, tahun ini pun kita mendapat jumlah yang sama. Perlahan-lahan kita laksanakan untuk tempoh lima tahun akan datang.

“Diharapkan peningkatan dalam penanaman semula ini akan memberi manfaat kepada pekebun-pekebun kecil,” katanya kepada media selepas pembentangan Belanjawan 2025 di Parlimen,.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim turut mengumumkan bahawa kerajaan bercadang menaikkan nilai ambang bagi kenaan levi keuntungan luar biasa ke atas buah kelapa sawit kepada RM3,150 bagi Semenanjung Malaysia, manakala bagi Sabah dan Sarawak kepada RM3,650.

Anwar berkata struktur julat harga pasaran dan kadar duti eksport minyak sawit mentah akan disemak semula mulai 1 Nov 2024, dan layanan semasa bagi eksport minyak sawit mentah dari Sabah dan Sarawak akan dikekalkan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.