P Pinang negeri ke-6 fatwakan GISBH sesat

P Pinang negeri ke-6 fatwakan GISBH sesat

Ia menyusul Perlis, Selangor, Pahang, Sabah dan Melaka yang sudah mengisytiharkan aktiviti kumpulan itu bertentangan ajaran Islam.

gisb
Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Mohamad Abdul Hamid, berkata Jawatankuasa Fatwa mendapati  GISBH masih meneruskan amalan Aurad Muhammadiah atau Zikir Agung versi Darul Arqam yang difatwakan sesat sebelum ini. (Gambar EPA Images)
PETALING JAYA:
Pulau Pinang menjadi negeri keenam memutuskan pegangan dan fahaman dibawakan Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) bercanggah dan menyeleweng daripada ajaran Islam.

Ia menyusul Perlis, Selangor, Pahang, Sabah dan Melaka yang sudah mengisytiharkan aktiviti kumpulan itu bertentangan ajaran Islam.

Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Mohamad Abdul Hamid, berkata Jawatankuasa Fatwa mendapati GISBH masih meneruskan amalan Aurad Muhammadiah atau Zikir Agung versi Darul Arqam yang difatwakan sesat sebelum ini.

Menurutnya, antara ajaran menyeleweng GISBH ialah mempercayai Asy-Syeikh Muhammad Suhaimi tidak meninggal dunia, tetapi ghaib dan bakal muncul sebagai Imam Mahdi, selain pengasas Darul Arqam, Ashaari Muhammad (Abuya) adalah Pemuda Bani Tamim akan muncul sebagai pembantu Imam Mahdi di akhir zaman.

“Mereka juga meyakini amalan bertabarruk atau mengambil berkat, iaitu air basuhan anggota badan pemimpin GISBH dan air rendaman seperti rambut dan janggut pemimpin mempunyai berkat,” katanya dalam kenyataan.

“Dari sudut muamalah ekonomi pula, GISBH mengamalkan ekonomi mempunyai unsur perhambaan dan penindasan terhadap mereka terlibat serta eksploitasi ke atas ahli, kanak-kanak dan wanita.”

Justeru, beliau berkata, Jawatankuasa Fatwa mengharamkan sebarang penyebaran, pengajaran atau sokongan terhadap ajaran dan amalan seumpama GISBH serta dilarang menyimpan, menerbitkan atau mengedarkan apa-apa bahan berkaitan ajaran sesat itu.

Katanya, Jawatankuasa Fatwa Pulau Pinang turut mengharamkan sebarang bantuan kepada mana-mana pihak berpotensi menyebarkan ajaran itu.

“Mana-mana ahli GISBH dan orang Islam yang mengamalkan fahaman dan ajaran GISBH wajib bertaubat serta meninggalkan fahaman dan amalan tersebut dengan segera.”

Bagi memulihkan akidah ahli GISBH, beliau berkata, kerajaan Pulau Pinang menyediakan Kompleks Darul Hidayah (KDH) di Permatang Tok Gelam sebagai pusat pemulihan akidah.

“Program pemulihan di KDH menekankan bimbingan asas agama Islam dan memperkukuhkan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah berasaskan modul-modul seperti Akidah, Sirah, Ibadah dan Fikah,” katanya sambil menambah belum ada ahli GISBH tampil menjalani proses pemulihan di KDH.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.