Cuepacs ucap ‘terima kasih’ PM utamakan penjawat awam

Cuepacs ucap ‘terima kasih’ PM utamakan penjawat awam

Bantuan khas pada Februari depan itu dapat meringankan beban apabila sekolah dibuka dan sambutan Aidilfitri, kata Cuepacs.

Ketika membentangkan Belanjawan 2025, Anwar Ibrahim mengumumkan bantuan khas bagi penjawat awam dan pesara, yang akan disalurkan pada Februari depan.
PETALING JAYA:
Kongres Kesatuan Pekerja dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menghargai komitmen kerajaan mengutamakan perkhidmatan awam susulan pengumuman bonus RM500 bagi kakitangan Gred 56 dan ke bawah, termasuk lantikan kontrak.

Presiden Cuepacs Adnan Mat berkata, bantuan khas itu memberi kelegaan kepada penjawat awam terutama ketika sesi persekolahan dibuka dan sambutan Aidilfitri pada Februari dan Mac tahun depan.

“Cuepacs berharap semua penjawat awam memberikan komitmen penuh dalam memastikan iltizam kerajaan dalam menambahbaik sistem penyampaian awam dapat dilaksanakan dengan berkesan, terutama melibatkan kerjasama dan koordinasi antara jabatan kerajaan,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, ketika membentangkan Belanjawan 2025, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Anwar Ibrahim mengumumkan bantuan itu, yang akan disalurkan pada Februari.

Selain penjawat awam, semua pesara kerajaan, termasuk veteran berpencen dan tidak berpencen, juga menerima bantuan sebanyak RM250.

Anwar turut mengumumkan lebih RM1.8 bilion bagi membina, menyelenggara dan membaik pulih semua kuarters penjawat awam.

FMT sebelum ini melaporkan Cuepacs meminta kerajaan memberi perhatian kepada isu perumahan atau kuarters kerajaan daif dan usang, yang menurutnya tidak lagi kondusif untuk membina keluarga sejahtera.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.