
Bersatu mempunyai sayap bukan Bumiputera iaitu Bersekutu manakala PAS mewujudkan Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP), ahli bersekutu yang dinaik taraf menjadi satu daripada sayap parti terbabit bulan lalu.
Felo Majlis Profesor Negara Azmi Hassan berkata tonggak dalam Perikatan Nasional (PN) itu perlu menerima hakikat gabungan terbabit tidak lagi boleh terlalu bergantung kepada sokongan orang Melayu untuk menjadi kerajaan.
“Kekurangan mereka sekarang pengundi bukan Melayu, jadi ini satu cara untuk mereka menarik sokongan kelompok terbabit untuk menyokong PN.
“Jadi seharusnya Bersatu dan PAS buka peluang seadil-adilnya kepada ahli sayap bukan Melayu dan Islam untuk mengundi,” katanya kepada FMT.
Selasa lalu, Ketua Bersekutu Bersatu Chong Fat Full berharap sayap itu diberi peluang mengambil bahagian dalam proses pengundian ‘top 5’ parti pada pemilihan bulan depan.
Ketika ini, mereka hanya boleh mengundi bagi memilih pimpinannya yang berlangsung 12 Okt lalu menyaksikan Chong mempertahankan kedudukannya.
Keadaan sama juga dilalui ahli bersekutu dalam DHPP selepas PAS meminda perlembagaannya bulan lalu, dengan mengiktirafnya sebagai salah sebuah sayap parti, selain Pemuda dan Muslimah.
Pemerhati politik menyifatkan langkah PAS itu sebagai ‘separuh masak’ dan tidak ikhlas memandangkan peranan terhad orang bukan Islam dalam parti terbabit.
Ariff Aizuddin Azlan dari Universiti Teknologi Mara turut berpandangan sama bahawa ahli Bersekutu Bersatu wajar diberi peluang mengundi pemimpin tertinggi parti, sama seperti sayap Pemuda dan Wanita.
“Saya tidak melihat isu seperti sekularisme akan membakar lagi struktur dalaman Bersatu kerana ini berkait dengan persaingan dalaman dan bukannya luaran membabitkan PKR, DAP dan parti lain.
“Jadi untuk jangka pendek, wajar jika peranan sayap Bersekutu dimaksimumkan sebaik mungkin supaya nilai demokrasi dapat diterapkan dan proses pemilihan terus dihormati jika direalisasikan,” katanya.
Bagaimanapun, Lau Zhe Wei dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia pula berpendapat Bersatu dipimpin Muhyiddin Yassin tidak perlu berbuat demikian pada masa ini dan mengekalkan status quo sebagai jalan selamat.
“Kecuali sampai satu tahap Bersatu hendak menggambarkan atau melalui hala tuju baharu dan mahu menonjolkan semangat kepelbagaiannya,” katanya.