Belanjawan 2025: Sabah, Sarawak terima peruntukan pembangunan tertinggi

Belanjawan 2025: Sabah, Sarawak terima peruntukan pembangunan tertinggi

Anwar Ibrahim mengumumkan Sabah dan Sarawak menerima peruntukan RM6.7 bilion dan RM5.9 bilion.

Lebuh Raya Pan Borneo
Kerajaan akan meneruskan projek Lebuhraya Pan Borneo bagi meningkatkan akses penduduk di Sabah dan Sarawak. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Sabah dan Sarawak antara negeri menerima peruntukan tinggi dalam Belanjawan 2025 bagi merapatkan jurang pembangunan dengan pelaksanaan projek prasarana asas, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Anwar yang juga menteri kewangan berkata negeri di Malaysia Timur itu diperuntuk masing-masing RM6.7 bilion dan RM5.9 bilion.

Beliau turut mengumumkan kadar pemberian khas Sabah dan Sarawak dinaikkan sekali ganda iaitu sebanyak RM600 juta berbanding RM300 juta tahun ini.

“Kerajaan Madani menunaikan kesepakatan pemimpin terdahulu terkait Perjanjian Malaysia 1963. Maka tidak harus dipertikai sebab Sabah Sarawak diberi perhatian khusus.

“Jurang pembangunan antara negeri perlu dirapatkan khususnya melibatkan prasarana asas seperti jalan raya, elektrik dan air bersih,” katanya di Dewan Rakyat.

Tambahnya lagi, bagi menambah akses kepada rakyat di Sabah dan Sarawak, kerajaan juga akan mempergiatkan pelaksanaan projek Lebuh Raya Pan Borneo.

Katanya, kerajaan telah memuktamadkan empat pakej kerja Sabah Sarawak Link-Road (SSLR) Fasa 2 bernilai RM7.4 bilion.

“Dua pakej sudah dianugerahkan, manakala baki pakej sebelum hujung tahun.

“Kerajaan juga bersetuju melaksanakan projek pembesaran Lapangan Terbang Tawau dan Lapangan Terbang Miri dengan kos RM253 juta.

“Kerajaan Persekutuan dan Sarawak turut bekerjasama membangunkan Pusat Kanser Sarawak dianggarkan RM1bilion,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.