5 dikhuatiri lemas bot regata karam di Sg Sarawak

5 dikhuatiri lemas bot regata karam di Sg Sarawak

Kejadian berlaku ketika 15 peserta dalam sebuah bot yang sedang menjalani latihan regata tiba-tiba karam.

Anggota bomba ketika operasi mencari dan menyelamat lima mangsa bot regata yang karam di Sungai Sarawak petang tadi. (Gambar Bernama)
KUCHING:
Sesi latihan regata bertukar tragedi apabila lima peserta dikhuatiri lemas selepas bot dinaiki mereka karam di Sungai Sarawak berhampiran Royal Bay Commercial Centre, Jalan Buruh Bintawa petang tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan berkaitan kejadian itu pada 4.20 petang.

Susulan itu, sepasukan anggota bomba digegaskan ke lokasi kejadian bagi operasi mencari dan menyelamat (SAR).

“Insiden ini melibat 15 peserta menggunakan satu bot untuk latihan regata. 10 individu berjaya menyelamatkan diri manakala lima yang lain masih hilang.

“Operasi SAR melibatkan pihak bomba, Polis Marin serta Sarawak Coast Guard. Pihak bomba menggunakan kaedah pencarian di permukaan air,” katanya dalam kenyataan.

Semua yang hilang ialah Mohamad Ikhmal Sama’ail, Majurie Maharuf, Mohd Afiq Isyamudin Asaari, Mohamad Khairul Bidin dan Muhammad Khairul Hisyam Kasturi, berusia lingkungan 22 hingga 35 tahun.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.