
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Ramli Mohamed Yoosuf berkata, mangsa berusia 72 tahun itu dilaporkan mula-mula menerima panggilan telefon pada 22 Ogos lepas daripada seorang individu mengaku sebagai pegawai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
“Pemanggil mendakwa mangsa terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram dan menyambungkan panggilan tersebut kepada seorang ‘pegawai polis’ daripada IPD Bintulu,” katanya pada sidang media hari ini.
Ramli berkata, mangsa diminta menyenaraikan semua akaun banknya dan mengangkat sumpah bagi merahsiakan perkara tersebut, selain diarahkan melapor diri kononnya kepada kononnya pegawai polis Bukit Aman dua kali sehari.
Mangsa turut diarahkan memindahkan semua wang simpanannya ke dalam empat akaun bank atas nama sendiri kemudian menyerahkan kad ATM, nombor pin dan kad SIM dalam sampul surat yang perlu diletakkan di dalam semak berhampiran sebuah lorong, kononnya bagi tujuan audit oleh pihak penyiasat.
“Mangsa hanya menyedari diperdaya apabila mendapati semua wang miliknya dikeluarkan dan dipindahkan tanpa pengetahuannya,” kata Ramli menambah, mangsa kemudian membuat laporan polis pada 9 Okt.
Kes sedang disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Mengulas lanjut, Ramli berkata, berdasarkan rekod, sejak 1 Jan hingga 13 Okt, terdapat 75 kes penipuan menerusi telefon dilaporkan, melibatkan mangsa dalam kalangan guru, dengan jumlah kerugian lebih RM5.7 juta, atau purata kira-kira RM76,000 bagi setiap mangsa.