PAC panggil LHDN, jawatankuasa pasukan petugas 1MDB hadir prosiding bulan depan

PAC panggil LHDN, jawatankuasa pasukan petugas 1MDB hadir prosiding bulan depan

Prosiding itu bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung tindakan yang sedang diambil mengenai pengurusan ABT dan komitmen jaminan 1MDB.

LHDN bersama Jawatankuasa Pasukan Petugas 1MDB akan dipanggil PAC bulan depan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Jawatankuasa Pasukan Petugas 1MDB akan dipanggil menghadiri prosiding Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bulan depan berhubung pengurusan Akaun Belum Terima (ABT) dan komitmen jaminan 1MDB.

“Prosiding (ini) bagi mendapatkan maklumat lebih lanjut berhubung tindakan yang sedang diambil mengenai perkara-perkara ini,” kata Pengerusi PAC Mas Ermieyati Samsudin dalam kenyataan hari ini.

Mas Ermieyati berkata, pihaknya membuat keputusan sedemikian susulan taklimat oleh Ketua Audit Negara Wan Suraya Wan Mohd Radzi kepada PAC hari ini berhubung Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 3/2024 Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan Tahun 2023.

“Antara perkara yang menarik perhatian PAC dalam taklimat pada hari ini ialah pengurusan ABT bawah LHDN dan komitmen jaminan 1MDB,” katanya.

Terdahulu dilaporkan kerajaan perlu melunaskan baki komitmen jaminan syarikat 1MDB berjumlah RM9.456 bilion melalui Sukuk Islamic Medium Term Notes (IMTN) yang akan matang pada 2039.

Sehubungan itu, LKAN mengesyorkan kerajaan mendapatkan kembali aset berkaitan 1MDB dan SRC International Sdn Bhd daripada pelbagai pihak sama ada dari dalam dan luar negara bagi menampung perbelanjaan balik hutang kedua-dua syarikat itu, selain perbelanjaan hutang lain.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.