Najib ‘percaya lembaga pengarah’ SRC, tak pertikai pinjaman tambahan RM2 bilion

Najib ‘percaya lembaga pengarah’ SRC, tak pertikai pinjaman tambahan RM2 bilion

Bekas PM itu berkata, bekas CEO SRC Nik Faisal Ariff Kamil yang bertanggungjawab mengendalikan perkara berkaitan dengan lembaga pengarah.

Pada Mei 2021, SRC International bawah pengurusan baharu memfailkan saman antaranya mendakwa bekas perdana menteri Najib Razak melakukan pecah amanah jenayah dan salah guna kuasa. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Najib Razak berkata, dia tidak mempertikai permohonan pinjaman tambahan RM2 bilion daripada SRC International Sdn Bhd kerana percaya lembaga pengarahnya (BOD) akan membuat keputusan yang bertanggungjawab demi kepentingan syarikat.

Najib berkata, meskipun dia membincangkan pelaburan yang akan dilakukan dalam sektor tenaga oleh SRC dengan pihak pengurusan, bekas CEO syarikat itu, Nik Faisal Ariff Kamil, bertanggungjawab mengendalikan semua perkara berkaitan dengan BOD.

SRC memohon pembiayaan tambahan meskipun tidak kemas kini mengenai pinjaman awalnya sebanyak RM2 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) yang disokong oleh jaminan kerajaan.

Ketika disoal oleh peguam SRC, P Gananathan, Najib berkata, dia sedar akan ada proses formal sebelum permohonan pinjaman kedua boleh diluluskan oleh KWAP dan menjadi tanggungjawab Nik Faisal untuk berhubung dengan BOD mengenai isu itu.

Gananathan: Apa yang anda lakukan adalah bersetuju dengan cadangan Nik Faisal untuk mendapatkan pembiayaan tambahan dan memanjangkannya kepada Unit Perancang Ekonomi. Anda langsung tidak bertanyakan sebarang soalan sebagai menteri kewangan, tiada soalan tambahan.

Najib: Ia terpulang kepada Nik Faisal untuk berurusan dengan BOD. Saya memang percayakan BOD selama ini.

Gananathan: BOD yang tidak pernah anda rujuk.

Najib: Bukan saya yang perlu berurusan dengan BOD, itu tugas pihak pengurusan.

Najib berkata demikian ketika memberi keterangan di Mahkamah Tinggi di sini selaku saksi defendan pertama dalam kes saman USD1.18 bilion SRC International terhadap dirinya dan Nik Faisal, yang masih bebas.

Gananathan turut mempersoal keterangan Najib sekali gus membayangkan bahawa BOD SRC International masih memerlukan kelulusannya dalam bentuk tandatangan untuk meneruskan rancangan pelaburan mereka.

Gananathan: Tidak kiralah apa yang dinyatakan oleh BOD atau pihak pengurusan kepada anda, penggunaan kesemua dana ini tidak dapat dilakukan tanpa tandatangan dan kelulusan daripada anda.

Najib: Saya tidak bersetuju.

Pada Mei 2021, SRC bawah pengurusan baharu memfailkan saman mendakwa Najib melakukan pecah amanah jenayah dan salah guna kuasa serta memperoleh ganjaran peribadi daripada dana syarikat itu, selain menyeleweng dana tersebut.

Sebelum ini, SRC menggugurkan lima pengarahnya daripada saman itu dan mengekalkan Najib sebagai defendan tunggal.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi memberi kebenaran kepada Najib untuk mengeluarkan notis pihak ketiga terhadap mereka.

SRC memohon deklarasi mahkamah bahawa Najib bertanggungjawab atas kerugian yang dialaminya akibat pelanggaran tugas dan amanah bekas perdana menteri itu serta menuntut dia membayar pampasan RM42 juta bagi kerugian itu.

Perbicaraan di hadapan Hakim Ahmad Fairuz Zainol Abidin bersambung esok.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.