
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Zafrul Aziz berkata Malaysia membantah duti import solar dikenakan ke atasnya dan syarikat yang mempunyai sekurang-kurangnya 40% kandungan tempatan perlu dikecualikan daripada tarif.
“Solar sebenarnya harga yang murah, dapat membantu dalam usaha mencapai (pelepasan karbon) sifar bersih dunia.
“Oleh itu, saya harap AS dapat memberi pertimbangan sewajarnya untuk syarikat-syarikat solar yang berpangkalan di Malaysia,” katanya kepada Bernama selepas menyertai dan merasmikan program ‘Fun Run Bernama Radio & MITI’ di Tasik Titiwangsa.
Beliau menegaskan, Malaysia sebagai negara dalam blok ekonomi kelima terbesar dunia, menjalinkan hubungan baik dengan semua pihak sama ada dari segi perdagangan, pelaburan dan juga diplomatik.
“Sebagai sebuah negara berteraskan perdagangan, kita mengambil langkah neutral dan tidak berpihak memandangkan kedua-dua kuasa besar (ekonomi) itu (AS dan China) penting dari segi perdagangan dan pelaburan untuk negara Asean,” katanya.
Tengku Zafrul berkata, kedudukan Malaysia sebagai pengerusi Asean 2025 juga memberikan kelebihan untuk menangani isu itu dengan lebih baik.
Sebelum ini, AS mengenakan tarif sebanyak 9.13% ke atas import sel solar dari Malaysia.
Negara Asia Tenggara seperti Kemboja pula mengenakan tarif sebanyak 8.25%, Thailand (23.06%) dan Vietnam (2.85%).