Hakim arah Daim hadir perbicaraan nilai kesihatan mental

Hakim arah Daim hadir perbicaraan nilai kesihatan mental

Peguam bekas menteri kewangan itu mengemukakan surat ditandatangani jururawat Hospital Assunta memaklumkan beliau dirawat di situ.

Daim Zainuddin
Daim Zainuddin tidak hadir ke mahkamah atas alasan kesihatan sejak beliau didakwa pada Januari lalu atas tuduhan gagal mematuhi terma notis perisytiharan harta yang dikeluarkan SPRM.
PETALING JAYA:
Mahkamah Sesyen mengarahkan bekas menteri kewangan, Daim Zainuddin, hadir pada perbicaraan yang diteruskan untuk menentukan sama ada beliau perlu menjalani penilaian mental bagi memastikan beliau layak untuk dibicarakan.

“Beliau perlu hadir seperti biasa,” kata Hakim Azura Alwi kepada pihak pendakwaan dan pembelaan, selepas menetapkan tarikh 20 Nov untuk mendengar hujah tambahan.

Azura mengeluarkan arahan itu susulan kekeliruan berhubung ketidakhadiran Daim ketika kes tersebut didengar hari ini.

Seorang tertuduh diwajibkan hadir dalam semua prosiding jenayah kecuali mendapat pengecualian mahkamah.

Timbalan Pendakwa Raya Law Chin How dan Fadly Zamry memberitahu mahkamah bahawa peguam Daim hanya mengemukakan surat yang ditandatangani oleh seorang jururawat di Hospital Assunta, menyatakan bahawa tertuduh dimasukkan ke hospital.

Azura kemudian menjelaskan bahawa beliau pada 27 Ogos telah mengecualikan Daim untuk hadir hari ini apabila beliau dijadualkan untuk membuat keputusan.

Bagaimanapun, hakim bersetuju untuk menangguhkan keputusannya bagi memberi peluang kepada peguam baharu pembelaan, Gurdial Singh Nijar, untuk mengemukakan hujah lisan tambahan berkaitan permohonan tersebut.

Pendakwaan sebelum ini memohon perintah mahkamah agar Daim menjalani penilaian mental di hospital kerajaan selepas laporan perubatan dikemukakan pembelaan mendedahkan bahawa tertuduh mengalami beberapa serangan strok, yang menyebabkan beliau beberapa kali jatuh, hingga patah tulang.

Timbalan Pendakwa Raya Sharuddin Wan Ladin menyatakan bahawa kebimbangan utama pihak pendakwaan adalah mengenai keadaan mental Daim, dan sama ada beliau layak untuk dibicarakan.

Daim, 86, tidak hadir di mahkamah atas alasan perubatan sejak beliau didakwa pada Januari lalu kerana gagal mematuhi terma notis perisytiharan harta yang dikeluarkan di bawah Seksyen 36(2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Beliau dituduh tidak mengisytiharkan harta termasuk beberapa kenderaan mewah, syarikat dan hartanah di sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Pahang, Negeri Sembilan, Perak dan Kedah.

Dalam kes berasingan, isterinya, Na’imah Khalid, 66, pula didakwa atas satu pertuduhan gagal mematuhi notis dengan tidak mengisytiharkan harta termasuk Menara Ilham dan beberapa hartanah di sekitar Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

Sementara itu, mahkamah menetapkan 20 Nov untuk pengurusan kes bagi mendengar permohonan Daim dan Naimah bagi mencabar perlembagaan beberapa peruntukan dalam Akta SPRM dan undang-undang pengubahan wang haram yang sedia ada.

Permohonan yang dibuat di bawah Seksyen 30 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 ini adalah untuk Azura menghantar perkara tersebut ke Mahkamah Tinggi dan bagi Mahkamah Tinggi merujuk persoalan undang-undang kepada Mahkamah Persekutuan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.