Ahli tak sertai program pemulihan tanpa restu pemimpin, kata peguam GISBH

Ahli tak sertai program pemulihan tanpa restu pemimpin, kata peguam GISBH

Rosli Kamaruddin berkata sebahagian ahli tidak menganggap kepercayaan dan amalan kumpulan itu sesat.

gisb
Isnin lalu Majlis Keselamatan Negara mengumumkan program rehabilitasi secara sukarela untuk ahli Global Ikhwan Services and Business Holdings. (Gambar EPA Images)
PETALING JAYA:
Pengikut rangkaian Global Ikhwan mungkin tidak menyertai program rehabilitasi Majlis Keselamatan Negara (MKN) secara sukarela tanpa restu daripada kepimpinan tertinggi.

Peguam Rosli Kamaruddin yang mewakili Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) berkata, meskipun entiti itu mengalu-alukan inisiatif tersebut, pengikutnya masih ragu-ragu untuk menyertai program berkenaan.

“Mereka tidak tahu bagaimana untuk menjawab tawaran itu, terutama kerana pemimpin tertinggi masih ditahan bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma),” katanya kepada FMT.

“Ketika program serupa diperkenalkan semasa zaman Asaari Muhammad (pengasas Al-Arqam yang meninggal dunia) beliau sendiri memberikan arahan supaya komuniti itu meninggalkan ajaran sesat dan kembali ke jalan yang benar. Tetapi hari ini tiada pemimpin memberi arahan sebegitu,” katanya.

Gerakan Al-Arqam, yang pernah menarik ribuan pengikut antara 1970-an dan 1990-an, diharamkan kerajaan pada 1994 kerana didapati menyimpang daripada ajaran Islam yang sebenar.

Rosli berkata, sebahagian pengikut GISBH tidak berminat menyertai program itu kerana menganggap kepercayaan dan amalan mereka tidak menyimpang.

Baru-baru ini, empat negeri iaitu Melaka, Perlis, Pahang, dan Selangor mengisytiharkan ajaran dan amalan GISBH bertentangan Islam dan sesat serta masih mengamalkan ajaran Al-Arqam.

“Keadaan akan berbeza jika CEO dan ahli lembaga pengarah dapat menasihati pengikut untuk menyertai program pemulihan, tetapi malangnya mereka masih ditahan bawah Sosma,” kata Rosli.

Peguam itu berkata, pengikut GISBH juga ingin tahu sama ada akan dibayar elaun sepanjang program, memandangkan mereka kehilangan mata pencarian selepas pihak berkuasa merampas premis perniagaan dan aset lain.

“Mereka kini berdepan kesulitan untuk menyara keluarga. Bagaimana mereka akan menanggung keluarga jika menyertai program selama tiga bulan ini? Adakah kerajaan akan memberikan elaun? Jika ya, berapa jumlahnya?” katanya.

Rosli juga menyatakan bahawa butiran program tersebut, termasuk modulnya masih belum jelas.

Isnin lalu, MKN menawarkan program rehabilitasi secara sukarela kepada ahli GISBH yang masih bebas di negara ini untuk mereka kembali kepada ajaran Islam sebenar.

Timbalan Ketua Pengarah MKN, Baharuddin Ahmad, mengalu-alukan ahli organisasi itu tanpa mengira usia dan jantina, mendaftar bagi program tiga bulan yang dibuka hingga 14 Nov.

Burhanuddin berkata, pihaknya akan memastikan peserta tidak diasingkan daripada keluarga masing-masing sepanjang menjalani program itu, serta akan disediakan makanan, kelengkapan dan tempat tinggal selesa secara percuma.

Pada hari sama, anak perempuan Asaari menafikan dakwaan GISBH mengamalkan amalan bertentangan ajaran Islam, dan berkata mereka sudah bertaubat serta tidak lagi mengamalkan ajaran Al-Arqam.

Sejak sebulan lalu, polis menahan 415 individu dan menyelamatkan 662 kanak-kanak daripada rumah kebajikan dikendalikan GISBH.

Ketika ini, seramai 58 individu dikaitkan dengan kumpulan itu masih ditahan bawah Sosma.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.