Universiti Perdana, Pusat Siber Bersatu Axiata jalin kerjasama dalam latihan, kajian

Universiti Perdana, Pusat Siber Bersatu Axiata jalin kerjasama dalam latihan, kajian

Kedua-dua pihak memeterai MoU yang menumpukan penyelidikan dan latihan kemahiran dalam bidang keselamatan siber serta program berfokuskan industri.

Universiti Perdana dan Pusat Siber Bersatu Axiata memeterai MoU pada Rabu lepas, menggalakkan kerjasama akademik, budaya dan institusi antara kedua-dua pihak.
PETALING JAYA:
Universiti Perdana dan Pusat Siber Bersatu Axiata (ACFC) telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) Rabu lepas, menandakan satu langkah besar ke hadapan dalam perkongsian strategik antara kedua-dua entiti itu.

MoU itu bermatlamat menggalakkan kerjasama akademik, budaya dan institusi dengan menumpukan pada penyelidikan dan latihan kemahiran dalam bidang keselamatan siber serta program berfokuskan industri.

“Perkongsian ini penting dalam mempromosikan inovasi pelajar dan pengalaman secara ‘hands on’ (yang) dapat merapatkan jurang antara akademik dan industri,” menurut kenyataan.

“Kolaborasi antara Universiti Perdana dan Pusat Siber Bersatu Axiata akan membangunkan graduan sedia industri (di samping) memupuk penyelidikan terobosan.”

Naib Canselor Universiti Perdana Imran Ho Abdullah berkata, kerjasama itu dijangka menyediakan peluang latihan praktikal yang menghubungkan pelajar dengan pemimpin industri.

“Dengan jenayah siber yang kian meningkat terutamanya dalam sektor komunikasi digital, perkongsian ini akan menumpukan pembangunan penyelesaian keselamatan siber yang bukan sahaja dapat melindungi ekonomi dan keselamatan negara, tetapi juga menyediakan pakar keselamatan siber masa depan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Risiko dan Pematuhan Axiata Group Berhad Abid Adam berkata, perkongsian itu mampu memberi akses dan pendedahan kepada pelajar mengenai keupayaan bertaraf dunia serta risiko dan cabaran perniagaan dunia sebenar.

“Kami bukan sahaja memupuk bakat tetapi juga menyediakan mereka untuk berkembang maju dalam landskap digital yang sentiasa berkembang.

“Pusat Siber Bersatu Axiata ialah tempat untuk belajar dan berkembang melalui pengalaman dan latihan praktikal,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.