
Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata, kira-kira 400 lagi kawasan dikategorikan sebagai zon jingga atau berisiko.
“Jika kita lihat kepada struktur tanah, kawasan ini terletak di atas batu kapur,” katanya pada sidang media selepas meninjau lokasi tanah runtuh itu hari ini.
“Dari Hulu Klang ke Batu Caves, kawasan ini mempunyai kawasan batu kapur yang panjang dan apabila air mengalir melaluinya selama berbulan-bulan, risiko tanah runtuh lebih tinggi.”
Kejadian tanah runtuh akibat hujan lebat pada kira-kira 10.15 pagi semalam menyebabkan penghuni 20 rumah di Taman Melawati terpaksa mengosongkan kediaman masing-masing.
Sebanyak empat rumah dan sebuah kereta dikenal pasti terkesan akibat kejadian itu, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Amirudin yang juga Ahli Parlimen Gombak berkata, pihak berkuasa telah mengesan kawasan yang cenderung berlaku tanah runtuh dan mengambil langkah berjaga-jaga.
Dalam perkembangan lain, Amirudin turut mengingatkan penduduk, terutamanya di kawasan pesisir pantai Selangor, agar membuat persediaan menghadapi fenomena air pasang besar atau air pasang tinggi yang dijangka berlaku antara 18 hingga 20 Okt.