Muhyiddin gesa rujuk pindaan RUU kewarganegaraan ke Jawatankuasa Pilihan Khas

Muhyiddin gesa rujuk pindaan RUU kewarganegaraan ke Jawatankuasa Pilihan Khas

Muhyiddin Yassin berkata ini kerana ada beberapa kelompangan khususnya mengenai kebajikan kanak-kanak dan kaum wanita yang perlu diperbaiki.

MUHYIDDIN YASSIN
Muhyiddin Yassin juga berpandangan had umur 21 tahun bagi memohon kewarganegaraan dalam Perlembagaan Persekutuan wajar dikekalkan, bukan diturunkan kepada 18 tahun.
KUALA LUMPUR:
Bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin menggesa Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2024 membabitkan kewarganegaraan dirujuk ke Jawatankuasa Pilihan Khas sebelum diluluskan kerana didakwa ada kelompangan.

Muhyiddin (PN-Pagoh) berkata kelompangan itu berkait kebajikan kanak-kanak dan kaum wanita yang perlu dikaji semula oleh jawatankuasa terbabit supaya lebih adil.

Menurutnya, antara peruntukan perlu dikaji semula adalah hanya kanak-kanak lahir dalam persekutuan dan sekurang-kurangnya seorang daripada ibu bapanya seorang warganegara pada masa kelahirannya layak mendapat kewarganegaraan melalui kuat kuasa undang-undang.

Dakwanya, pindaan itu menafikan hak sedia ada anak-anak pemastautin tetap yang lahir di negara ini untuk menjadi warganegara.

“Hak ini dirampas daripada mereka. Pindaan perlembagaan yang melibatkan rampasan atau penafian hak sedia ada yang dijamin oleh perlembagaan bukanlah suatu perkara kecil,” katanya dalam perbahasan RUU Perlembagaan (Pindaan) 2024 di Dewan Rakyat.

Muhyiddin juga berpandangan had umur 21 tahun bagi memohon kewarganegaraan dalam Perlembagaan Persekutuan ketika ini wajar dikekalkan, bukan diturunkan kepada 18 tahun.

Bagaimanapun, beliau berkata pindaan itu boleh dibuat jika Kementerian Dalam Negeri dapat memberikan jaminan semua permohonan di bawah Perkara 15A diproses secara ‘fast track’.

“Ini untuk mengelakkan pemohon yang layak terlepas peluang untuk memohon disebabkan penurunan had umur ini,” katanya.

Beliau menyambut baik pindaan yang memberikan hak kewarganegaraan secara kuat kuasa undang-undang kepada kanak-kanak lahir di luar negara yang ibunya pada masa kelahirannya berstatus warganegara Malaysia.

Dakwanya, pindaan memberikan hak kewarganegaraan secara kuat kuasa undang-undang kepada anak-anak dalam kategori itu hanya untuk satu generasi sahaja itu selaras manifesto PN pada PRU15.

“Bagi saya ini mekanisme kawalan penting memastikan kelonggaran kepada hak kewarganegaraan diberikan melalui pindaan perlembagaan ini tidak disalahgunakan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.