Pekerja maut jatuh dari lori sampah

Pekerja maut jatuh dari lori sampah

Mangsa berusia 20 tahun tergelincir dan jatuh di atas bahagian depan sebuah kereta.

Ketua Polis Besut Abdul Rozak Muhammad, berkata mangsa berdiri di belakang lori dinaikinya ketika melakukan kerja memungut sampah sekitar Jabi, Kertih. (Gambar Bernama)
JERTEH:
Pemungut sampah maut selepas terjatuh dari lori sampah yang dinaikinya di Jalan Kampung Jabi, pagi tadi.

Ketua Polis Besut Abdul Rozak Muhammad, berkata dalam kejadian sekitar 8 pagi itu, mangsa Muhammad Sahrul Aiman Anuar, 20, dikatakan berdiri di belakang lori sampah yang sedang bergerak dari arah Jerteh ke Kuala Terengganu untuk melakukan kerja memungut sampah di sekitar Jabi sebelum tergelincir dan jatuh di atas bahagian hadapan kereta Proton Saga.

“Mangsa tergelincir lalu terjatuh atas bahagian depan sebuah kereta Proton Saga yang dipandu seorang wanita berusia 20 tahun dari arah sama dan berada di belakang lori sampah itu.

“Akibat kejadian berkenaan, mangsa yang beralamat di Kampung Pasir Tawar, Jertih meninggal di tempat kejadian akibat kecederaan yang dialaminya,” katanya dalam kenyataan.

Abdul Rozak berkata, mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Unit Forensik Hospital Besut untuk bedah siasat, manakala pemandu Proton Saga yang bekerja sebagai guru Taska itu tidak mengalami kecederaan.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.