
Ahli MPT Rafiq Abdullah berkata walaupun perlembagaan parti telah menetapkan ahli sayap Bersekutu hanya terbabit memilih pimpinannya, namun parti terbuka mendengar pandangan.
“Kalau dia nak minta, kena minta dalam MPT, bukan mohon dekat media… kalau dia ada cadangan boleh bincang dan MPT terbuka menerima segala pandangan,” katanya kepada FMT.
“Tetapi akhirnya kita (pimpinan) yang akan buat keputusan.”
Beliau mengulas kenyataan Ketua Bersekutu Bersatu Chong Fat Full yang berharap sayap itu diberi peluang mengambil bahagian dalam proses pengundian ‘top 5’ parti pada pemilihan bulan depan.
Dakwanya, ini bagi menggambarkan wujud layanan sama rata dengan sayap lain dalam Bersatu.
Tiada pertandingan bagi jawatan presiden dan timbalannya selepas tiada pencabar mahu melawan Muhyiddin Yassin dan Hamzah Zainudin. Pertandingan jawatan naib presiden pula membabitkan enam penjuru.
Selain Rafiq, calon lain Timbalan Presiden Ahmad Faizal Azumu, dua penyandang Ronald Kiandee serta Radzi Jidin, Ketua Penerangan Razali Idris dan Ketua Bersatu Batu Kawan Aziss Zainal Abidin.
Rafiq yang juga timbalan ketua Bersatu Selangor menasihatkan Chong ‘menelaah’ semula perlembagaan parti berkait struktur sayap itu yang telah diluluskan menerusi dua pindaan sebelum Bersekutu ditubuhkan pada 2021.
“Kena baca balik perlembagaan. Jika nak benarkan, kena pinda perlembagaan,” katanya yang mendedahkan, beliau turut terbabit dalam pindaan berkenaan.
“Itu antara keputusan yang kita capai sebelum buat pindaan perlembagaan untuk tubuhkan sayap Bersekutu.
“Bersekutu bertindak sebagai sayap cuma dia tak campur dengan struktur parti kecuali ketuanya kita angkat duduk dalam majlis tertinggi (sebaris top 5). Itu dah dikira penghormatan terbesar yang parti bagi.”
Sayap Bersekutu Bersatu kini mempunyai 26 bahagian di seluruh negara dan terdiri ahli bukan Bumiputera. Mereka hanya boleh bertanding untuk merebut jawatan dalam sayap itu.
Dalam pada itu, Rafiq mencabar Chong untuk ‘bertukar angin’ jika merasakan Bersatu tidak sesuai dengan perjuangan yang dibawa.
“Jika dia rasa dia tak diberi keadilan dalam parti, kalau parti ini tak sesuai, anda (boleh) tinggalkan parti. Mana ada paksaan dalam parti,” kata Adun Kuang itu.