
Pengarah Imigresen Sabah Sh Sitti Saleha Habib Yusoff berkata, semua warga asing berusia antara setahun hingga 79 tahun itu ditahan selepas pihaknya memeriksa kira-kira 200 individu dalam serbuan di beberapa penempatan haram serta penempatan pekerja kuari dalam operasi itu.
“Kesemua mereka ditahan atas pelbagai kesalahan termasuk bawah Seksyen 6(1)(c) serta Seksyen 15(i)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
“Dua warga tempatan dipercayai majikan yang melindungi pendatang haram itu akan disiasat di bawah Seksyen 56(i)(d),” katanya pada sidang media hari ini.
Sementara itu dalam Ops Mahir di Semporna, Sh Sitti Saleha berkata, pihaknya menahan tujuh warga China dan empat warga Thailand berusia 18 hingga 55 tahun di sebuah tapak pembinaan di Pulau Gelam Gelam.
Menurutnya, mereka dipercayai melakukan kesalahan bawah Seksyen 6(i)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39b Peraturan-Peraturan Imigresen 1969.
Beliau berkata, warga China yang ditahan disyaki menyalah guna pas lawatan sosial untuk bekerja di tapak pembinaan di pulau itu.
“Pihak Imigresen sedang berusaha mengesan majikan dan pemilik premis terlibat untuk disiasat bawah Seksyen 55E dan Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.
Kesemua tahanan itu kini ditempatkan di Depot Imigresen Tawau untuk siasatan lanjut.