JKR pantau 3,200 cerun berisiko

JKR pantau 3,200 cerun berisiko

Keseluruhan 27,000 cerun di seluruh negara dalam pemantauan dengan 10,000 terletak berhampiran kawasan perumahan dan sekolah.

Timbalan Menteri Kerja Raya Ahmad Maslan melakukan tinjauan di lokasi tanah runtuh di Jalan E6, Taman Melawati.
AMPANG:
Jabatan Kerja Raya (JKR) mengaktifkan Bilik Gerakan Bencana (BigBen) bagi memantau 3,200 kawasan cerun berisiko di seluruh negara.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Ahmad Maslan, berkata secara keseluruhan terdapat 27,000 cerun di seluruh negara dalam pemantauan dengan 10,000 terletak berhampiran kawasan perumahan dan sekolah.

Katanya, langkah proaktif itu susulan Malaysia berdepan fasa peralihan Monsun Timur Laut bermula bulan depan.

“Kita telah beroperasi di ibu pejabat KKR, kita akan kerja 24 jam untuk beri amaran awal khususnya berhubung cerun, berhampiran penempatan, bangunan kerajaan, sekolah. Itu antara kerja kami,” katanya dalam sidang media selepas lawatan ke lokasi tanah runtuh di Jalan E6, Taman Melawati.

Mengenai tanah runtuh di lokasi itu, Ahmad memaklumkan tindakan jangka pendek iaitu kerja pembersihan, mencantas pokok, pengalihan sementara laluan air dan menutup kawasan cerun dijangka siap hari ini.

“Memandangkan kawasan tanah runtuh melibatkan tanah pemilikan pemaju, dicadangkan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) adakan libat urus bersama pemaju bagi kaedah rawatan kekal…Jumaat ini,” katanya.

Ahmad berkata, pemantauan pihaknya bersama Jabatan Mineral dan Geosains mengesahkan tidak berlaku pergerakan tanah di kawasan berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.